DRAMA panjang pergolakan rumah tangga pasangan penyanyi Aliff Aziz dan Bella Astillah akhirnya bernoktah apabila psah bercerai talak satu buat kali kedua di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur hari ini.
Aliff atau nama penuhnya Mohammad Aliff Aziz, 33, melafazkan cerai talak satu pada pukul 1.11 petang di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat, selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Bella mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Hakim Syarie Wan Mohd. Najib kemudian mensabitkan berlaku perceraian dan memerintahkan Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 29,menjalani tempoh idah selama tiga bulan dan mendaftarkan perceraian mereka.
Saya Muhammad Aliff bin Aziz menceraikan isteri saya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah dengan talak satu hari ini,” katanya.
Mahkamah Rendah Syariah dimaklumkan tiada ruang untuk Bella dan Aliff berdamai susulan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan).
Ini kerana Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang telah dibentangkan di mahkamah mengesahkan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) pada pasangan itu dan kewujudan pihak ketiga.
Pada 11 Mac lalu, Bella telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Aliff secara `fast track’ kerana tiada lagi persefahaman dan mawaddah (cinta dan kasih sayang).
Namun, pada 4 April lalu, Aliff enggan menceraikan Bella atas alasan masih sayang terhadap isterinya.
Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.
Pasangan itu pernah mengambil keputusan untuk bercerai pada 16 Mei 2019 selepas Aliff beberapa kali ‘kantoi’ berlaku curang namun kembali rujuk ketika Bella dalam tempoh idah.
Terdahulu, rumah tangga Bella dan Aliff, sekali lagi menjadi topik hangat apabila suaminya itu didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhanies, 32, di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Sebelum ini, Bella dan Aliff pernah bercerai talak satu sekitar tahun 2020 namun kembali rujuk dua bulan kemudian sebelum mengesahkan dirinya hamil anak kedua ketika itu. – HIBGLAM