Pelakon Haneesya Hanee mengakui menggigil untuk melakonkan babak mabuk dan berhibur di kelab malam dalam drama popular, Aku Bukan Ustazah.
Menurut Haneesya atau nama penuhnya Sharifah Haneesya Sayed Sahlan, 24, perkara tersebut dirasainya kerana trauma apabila mengimbau segala memori pahit dan kecaman teruk yang diterima ketika peristiwa hitam gelaran Dewi Remaja 18/19 yang ditarik daripadanya sebelum ini.
Watak jahat ini sebenarnya senang namun selepas buat beberapa episod awal, saya sudah rasa macam berbelah bahagi sebab banyak babak memerlukan saya seperti mabuk dan berada di kelab malam.
“Kalau satu babak saya boleh toleransi, tetapi banyak sangat sampai rasa tak perlu. Setiap kali habis berlakon babak mabuk, saya terus akan menggigil dan pergi ke tandas, menangis,” katanya kepada HibGlam pada sidang media drama Aku Bukan Ustazah di sini, semalam.
Tambah Haneesya yang sedar nama dan imejnya sudah lama terjejas berikutan isu yang berlaku selepas program Dewi Remaja pada tahun 2018.
“Saya sedar imej sudah buruk dan memang trauma dengan kecaman netizen, susah nak hadap semua itu.
Saya risau apabila drama ini keluar, netizen akan teringat semula kejadian Dewi Remaja dulu dan akan kata ‘ehh ni bukan budak dewi…memang sesuailah dia pegang watak macam ni’
“Semua kecaman ketika kes Dewi Remaja dulu memang teruk. Saya takut dan tak sanggup hadap kecaman seperti itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia juga berharap keberadaannya sebagai seorang pelakon terus diraikan selain berdoa menerima lebih banyak tawaran lakonan kelak.
Selain Haneesya, Aku Bukan Ustazah arahan Idora Abdul Rahman turut dibintangi Erysha Emyra, MK Kclique, Zahiril Adzim dan Shaza Bae.
Terdahulu, nama Haneesya pernah meledak sekitar tahun 2019 apabila sebuah video tular membabitkannya sehingga menjadi punca kemenangan Haneesya sebagai juara Dewi Remaja 2018/2019 dalam pertandingan tersebut dilucutkan. -HIBGLAM