SUSULAN kontroversi tidak mengenali ‘senior’ mereka, Dolla, kumpulan wanita baharu SMDX meraih perhatian penyanyi dan pelakon Ayda Jebat yang sedia membimbing mereka.
Ujar Ayda atau nama lengkapnya Nur Suhada Jebat, 32, berkata, pemerhati dunia hiburan tanah air diharap dapat memaafkan kekhilafan mereka.
“Hello girls SMDX, nanti kak long buat kelas istimewa untuk kalian. Maafkan mereka.
“Mereka masih baharu. Nanti saya cubit mereka,” tulisnya menerusi hantaran Instagram Story.
Sejak kelmarin, kumpulan asal Sabah itu dikecam teruk netizen susulan kenyataan seorang anggotanya, Elle Thong yang dikatakan berlagak apabila menyatakan tidak mengenali Dolla.
Tindakan mulut lancangnya membuatkan peminat tegar Dolla, iDolla tersinggung sehingga pelbagai kecaman ditinggalkan ramai di ruangan komen videoi TikTok gadis terbabit.
Dalam video tersebut Elle seolah-olah tidak pernah mendengar nama Dolla yang juga kumpulan wanita paling popular ketika ini.
“Kata kami mencabar Dolla? Siapa Dolla? Saya tak kenal. Mungkin Crystal dan Devey kenal,” demikian luahan penyanyi baharu itu.
Begitupun, syarikat rakaman SMDX, XIOKK Entertainment tampil membuat permohonan maaf atas ketelanjuran kata artis naungannya selain menyentuh beberapa isu sampingan lain termasuk imej seksi.
Masih terus menjadi bualan, rata-rata berpendapat bakat baharu sepertinya tidak wajar bersikap bongkak sebegitu dan menyarankan syarikat pengurusan menggugurkannya. – HIBGLAM