HANYA kerana bersuara tentang isu kempen Blockout2024, penyanyi Naim Daniel mendedahkan menerima komen berbaur ugutan bunuh daripada netizen terhadap ibu bapanya.
Naim, 27, yang kecewa dengan tindakan tersebut berkata, ugutan sedemikian tidak sepatutnya berlaku memandangkan dia hanya bersuara mengenai kempen Blockout dan bukannya salah seorang artis yang tersenarai.
“Jika ini adalah sebahagian daripada cara untuk #blockout2024 maka terangkan kepada saya, apakah dihalalkan untuk mengugut, menghina, memfitnah, mencaci maki tanpa usul periksa atas nama boikot?
“Saya berpesan supaya tidak bersifat melampau sehingga mampu mewujudkan cabang dosa dalam masa kita cuba melakukan sesuatu atas nama kebaikan.
“Saya dikatakan ‘terpaling’. Malah siap ada golongan menyalah erti dan menggunakan naratif yang berbeza bagi menentang saya,” katanya dalam Instagram.
Tambahnya, dia juga menegaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk tajaan produk berjenama mewah yang mempunyai kaitan atau menyokong Zionis.
“Saya juga tidak pernah menerima sebarang bentuk tajaan barangan mewah daripada jenama yang menyokong rejim laknatullah.
“Malah, saya tidak pernah menidakkan kesengsaraan mahupun kezaliman saudara mara sedarah seagama di sana. Saya dilahirkan dengan kalimah Lailahaillallah di telinga dan semoga mati dengan kalimah agung ini hendaknya.
“Jadi, terangkan kepada saya, apakah ini semua? Komen begini yang ada dalam ribuan komentar yang saya dapat dalam tempoh dua hari ini, adalah halal atas dasar boikot?” soalnya.
Sementara itu, dia turut memuat naik foto berada di balai polis dipercayai bagi membuat laporan berhubung perkara tersebut.
Menerusi perkongisan sama, dia turut memuat naik tangkap layar beberapa komen netizen terhadapnya.
“Ini kalau aku jumpa mak bapak kau, aku sembelih hidup-hidup.
“Hai orang kafir.
“Dasar liberal, nanti kau mati minta tolong dengan Zionis itu,” komen netizen.
Terdahulu, nama pelantun lagu Sumpah itu turut menjadi bahan perdebatan ramai apabila didakwa ‘backup’ golongan selebriti yang tersenarai dalam kempen blockout 2024.
Disebabkan hal tersebut, dia turut dilabel sebagai ‘terpaling’ kerana menyelar tindakan segenlintir individu kerana melancarkan boikot tanpa usul periksa. – HIBGLAM