Kim Ji-won si ratu air mata

BERMULA sebagai penyanyi dan pemain muzik, siapa sangka tekad wanita bernama Kim Ji-won yang pada awalnya hanya mencuba nasib dalam bidang lakonan berhasil membuka mata khalayak global.

Impak kesungguhan hampir sedekad berkelana dalam industri hiburan, aktres berusia 32 tahun itu kini dikejar deretan sutradara.

Mana tidaknya, dinamik lakonan daripada sisi antagonis, psiko seram sehingga ke karakter sebaik-baik insan, kredibiliti serta versatiliti Ji-won tidak perlu disangkal.

Terus mendakap tuah, nama aktres kelahiran Seoul itu sekali lagi meledak menerusi lakonan berkesannya dalam drama fenomena berjudul Queen of Tears.

MENGGALAS watak Hong Hae-in dalam drama Queen of Tears mengajar Ji-won banyak perkara, termasuk tekad dan semangat dalam mengharungi kerasnya sebuah kehidupan.

Naskhah kompleks sarat penjiwaan dek krisis perkahwinan selain suntikan jalan cerita unik tersebut meraih pujian sebagai drama terbaik tahun ini, apatah lagi dengan kemenjadian lakonan gandingannya dengan Kim Soo-hyun.

Ji-won mengakui watak sebagai Hong Hae-in dalam naskhah terbabit sangat sukar selain menuntut pendekatan teknik lakonan dan emosi berbeza sehingga diberi jolokan sebagai ratu air mata.

“Saya memang banyak bawa watak berat sebelum ini tetapi kali ini memang payah.

“Karakter Hae-in itu sendiri sangat kuat dan lemah dalam masa sama, saya kena gabungkan dua elemen itu agar dinamik lakonan saya berkesan di hati penonton.

“Ada sebab mengapa tajuk drama ini Queen of Tears, memang banyak babak saya menangis teresak-esak sampai sembab muka.

“Rasanya keseimbangan kesedihan dalaman watak dengan konflik cinta yang memeningkan menjadi salah antara faktor, mengapa peranan Hae-in menjadi perbualan bahkan ‘trending’ dalam platform media sosial,” tuturnya menerusi sebuah rancangan temu bual.


MEMULAKAN karier sebagai penyanyi sandaran, Kim Ji-won tidak menyangka langkah beraninya terjun ke dunia lakonan membuahkan hasil.

Tambahnya lagi, watak Hae-in sebenarnya mengajar banyak perkara, termasuk erti kekuatan dalam mengharungi sepak terajang kehidupan.

“Apa pun saya gembira bawa watak Hae-in, namun paling memberi kesan sebenarnya apabila saya dapat memahami karakter tersebut secara mendalam yang memberi banyak tamparan kepada saya dalam dunia realiti.

“Daripada watak tersebut saya belajar. Hae-in tidak semata-mata menghabiskan waktunya untuk berputus asa meskipun ibarat sudah kenyang dengan air mata.

“Walaupun mengalami waktu sulit, dia mengatasinya dengan cepat dan berusaha bangkit semula kerana sedar betapa kerasnya kehidupan ini.

“Semangat watak itu yang kini saya pegang,” tuturnya yang serasi bergandingan dengan Kim Soo-hyun. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai berdekatan.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok