[VIDEO] Cerita peribadi, biarlah jadi hak kami – Rusdi Ramli

“Terlalu terbuka bercerita perihal peribadi memudaratkan banyak pihak.”

Demikian penegasan pelakon Rusdi Ramli, 54, yang enggan mengulas spelukasi pergolakan rumah tangga demi menjaga privasi keluarganya.

Menurut suami kepada komposer Sharon Paul itu, dia lebih selesa membicarakan soal karier tanpa perlu menyentuh kehidupan peribadi yang sepatutnya menjadi rahsianya dan isteri.

“Kalau dahulu kita disogok dengan ayat artis adalah hak masyarakat. Sejak awal pembabitan dalam industri seni, saya tidak pernah percaya atau berpegang kepada ayat tersebut.

Bagi saya, hasil kerja anak seni sahaja jadi hak masyarakat tetapi isu peribadi adalah hak kami. Tak adil sebab kami pun manusia.

“Kalau bidang lain seperti arkitek misalnya, apabila bangunan dibina runtuh, tiada pula orang bertanya siapa isterinya. Kenapa kami tidak begitu?

Jadi, jika hasil kerja kami buruk hentamlah tetapi soal peribadi, biarlah jadi hak kami. Kalau tak, tiada apa lagi jadi kepunyaan kami,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran drama Framed, baru-baru ini.

Dalam masa sama, pelakon filem Waris Jari Hantu itu percaya keterbukaan berkongsi kisah peribadi berisiko mendatangkan kesan tidak dijangka.

Saya percaya jika terlalu terbuka sampai cerita peribadi pun dikongsi, akhirnya bukan sahaja tidak  menguntungkan bahkan memudaratkan banyak pihak.

“Jadi, kenapa buat sedangkan kita boleh elak,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai tindakan sesetengah individu yang suka menghebahkan kisah peribadi kepada umum, Rusdi berkata dia menghormati pilihan pihak terbabit.

Itu hak masing-masing. Sesetengah orang tak kisah mungkin mereka suka cerita mereka jadi tatapam umum setiap hari. Kalau tidak, tiada cerita.

“Saya pula pula berpegang kepada prinsip lebih baik diam daripada bercerita benda yang tiada,” katanya.

Sebelum ini, Sharon mendedahkan sudah beberapa tahun tidak lagi sehaluan dengan pengarah dan pelakon itu selain percaya perceraian adalah jalan terbaik.

Rusdi dan Sharon berkahwin pada 2008 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Reo Ridza, 15 dan Ryan Ridza, 12.

Sebelum itu, Rusdi pernah mendirikan rumah tangga dan memiliki seorang anak lelaki bernama Efiezal Ridza, 34. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok