DEMI kekal relevan dalam industri muzik, penyanyi yang terkenal dengan genre muzik jazz, R&B dan soul, Noryn Aziz mencabar diri keluar dari zon selesanya apabila muncul dengan single baharu, Kertas.
Lagu ciptaan komposer dan penyanyi, Amylea Azizan tersebut merupakan karya pop balada Melayu pertama Noryn sepanjang hampir tiga dekad berkecimpung dalam industri muzik.
Noryn atau nama lengkapnya, Norazmahwati Abdul Aziz, 48, mengakui mulanya berasa bimbang atas perubahan yang dilakukan, namun akhirnya bersyukur apabila lagu Kertas yang menjadi runut bunyi drama fenomena, Khunsa diterima baik khalayak.
Akhirnya selepas sekian lama dalam industri muzik orang sedar kehadiran saya menerusi lagu Kertas. Saya bersyukur Amylea dan pengarah drama Khunsa, Shahrulezad memilih saya sebagai penyanyi lagu runut bunyi.
“Walaupun sudah lama dalam industri, saya tidak sangka orang ramai boleh menerima baik saya menyanyikan lagu pop balada. Ramai yang terkejut mendengar vokal saya yang berbeza dalam lagu Kertas.
“Apa pun saya bersyukur kerana selama 28 tahun dalam industri barulah sekarang saya merasai perhatian secara meluas,” ujar Noryn menerusi temu bual bersama HibGlam baru-baru ini.
Mula berkecimpung dalam industri muzik menerusi kumpulan Sister-Sister pada 1996, Noryn kini mahu mencipta kelainan dan memberi warna dalam industri muzik tempatan yang rata-rata dimonopoli genre pop dan balada.
Atas alasan tersebut, dia memilih untuk membawa genre jazz, R&B dan soul meskipun sedar pasaran untuk muzik tersebut tidak begitu luas di Malaysia.
“Saya memang ingin cuba lari buat muzik yang sudah biasa didengar di Malaysia, tetapi halwa telinga peminat muzik tempatan menyukai lagu pop dan balada yang menyusuk jiwa.
Saya mengaku saya degil dan setia dengan muzik jazz (ketawa), akhirnya saya mengalah untuk cuba sesuatu yang berbeza dan memberi ruang untuk diri terjun ke pasaran yang baharu.
“Percubaan saya menjadi meskipun pada mulanya ramai menyangka lagu Kertas dinyanyikan penyanyi lain,” kongsi Noryn lagi.
Ibarat kelahiran semula, menerusi Kertas, Noryn bukan sahaja membuka mata banyak pihak akan bakatnya tetapi juga berjaya menarik ramai peminat baharu.
Bahkan Noryn juga mengambil inisiatif untuk mempelajari pelbagai ilmu digital selain aktif dalam media sosial untuk bersaing dengan penyanyi-penyanyi baharu.
“Peminat lagu jazz memang mengenali saya tetapi kelompoknya agak kecil, apabila saya muncul dengan lagu pop balada ramai peminat baharu termasuk golongan muda yang mula mengikuti saya di laman sosial.
Kebanyakan mereka mungkin pernah lihat Noryn Aziz, tetapi tidak mengenali muzik saya. Saya juga sedar ‘game’ dan bisnes muzik hari ini sangat berbeza.
“Mahu atau tidak saya terpaksa belajar ilmu baharu termasuk aktif dalam laman sosial supaya kekal relevan dan bersaing secara sihat dengan penyanyi muda yang bagi saya sangat agresif,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM) itu lagi.
Sambung Noryn, lagu Kertas yang mempunyai susunan muzik cukup dramatik juga diharap dapat melunaskan impiannya untuk bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM