Nadeera tak ‘sendu’ lagi, rezeki mencurah

LEBIH sedekad berkelana dalam industri seni hiburan tanah air dengan melakukan pelbagai usaha, boleh dikatakan nama Nadeera belum lagi gah seperti penyanyi seperjuangan, namun kerja kerasnya layak dipuji.

Terus mengorak langkah dan enggan menunggu lama, lagu demi lagu dihasilkan agar namanya relevan menjadj sebutan.

Tanpa jutaan peminat dalam Instagram, namun berbekalkan kualiti vokal, wanita kecil molek itu berjaya mengumpul kelompok peminat sendiri.

Bertahun-tahun berkalung gelaran penyanyi ‘sendu’, Nadeera atau Farah Nadeera Zaini kini mampu menarik nafas lega dengan perkembangan kerjayanya selepas menjuarai program realiti Big Stage musim kelima.

GRAF karier mencanak naik selepas menjuarai Big Stage musim kelima, Nadeera bersyukur bakatnya kian dihargai selain tidak menang tangan memenuhi undangan persembahan.

Ujar penyanyi berusia 31 tahun itu, jadualnya kini tidak lagi seperti dahulu apabila banyak menerima tawaran menyanyi untuk majlis korporat mahupun sebagai penyanyi jemputan konsert artis dalam dan luar negara.

“Tiada kata selain syukur bakat saya kini dihargai. Kalau dahulu, susah sangat nak dapat tawaran menyanyi.

Saya menyanyi pun setakat di ‘lounge’ hotel atau di kelab untuk mencari sumber pendapatan.

“Kini kehidupan saya berubah. Selepas bergelar juara Big Stage 5, hampir setiap bulan saya terima tawaran menyanyi, ada saja jemputan sana sini.

Sebagai insan seni yang memang minat menyanyi, momen ini memang sudah saya nantikan bertahun lamanya. Alhamdulillah berkat kerja keras, rezeki sentiasa ada untuk saya dalam bidang ini,” katanya kepada HibGlam.

Tidak hanya itu, Nadeera mengakui buat pertama kali, jadual Ramadan dan Syawal terisi dengan pelbagai jemputan dan tawaran.

“Puasa dan raya tahun ini berbeza juga, kalau dahulu memang jadual seni saya tidak padat, sekarang syukur dah mula banyak.

Saya mbil apa sahaja tawaran yang disua selagi saya boleh buat, lagipun bukan setiap masa orang nak bagi peluang, masa ada ini kita pulun habis-habisan.

“Insya-Allah, dengan semangat dan bakat, saya akan buat sehabis baik sebab ini memang minat saya daripada kecil. Walaupun lambat sikit orang kenal, tetapi indah pada waktunya,” katanya tersenyum.

TIDAK hanya menyajikan vokal semata, Nadeera berjanji bakal meletakkan rasa dan jiwa dalam setiap lagu yang akan dimuatkan dalam album mininya nanti.

Mengambil peluang selain enggan membuang masa, pelantun lagu Emas itu tidak menunggu lama untuk menghasilkan album mini.

Kendatipun mengakui berdepan kekangan kewangan, perkara tersebut tidak menjadi batu penghalang buat penyanyi bersuara lantang itu menghasilkan album yang dijangka dipasarkan sekitar tahun ini.

Saya bukannya muda lagi dan pastinya saya tak mahu berada di takuk lama, jadi saya kini dalam proses untuk terbitkan album mini merangkumi lima lagu.

“Kesemua lagu dalam album mini nanti ditulis dan dihasilkan saya sendiri bersama dua rakan lagi. Belum ada tarikh yang ditetapkan untuk memasarkannya tapi insya-Allah sekitar tahun ini.

Kos pembikinan memang besar apatah lagi saya penyanyi baharu, memang belum mampu untuk belanja sendiri.

“Tapi saya sedang berusaha mendapatkan bantuan tajaan jika ada yang sudi,” tuturnya.

Baca versi penuh di www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok