[VIDEO] Janganlah serius sangat, saya tak marah pun – Siti Nurhaliza

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil menjelaskan situasi di belakang pentas yang didakwa menonjolkan sisi garangnya sewaktu berkomunikasi dengan kru ketika Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza, baru-baru ini.

Siti, 45, terkejut apabila situasi yang menunjukkan kerisauannya sebaik menyedari monitor telinga tidak berfungsi sebelum tampil di pentas membuat persembahan tular dan disalah erti banyak pihak.

“Saya tak sangka pula, momen belakang pentas yang disiarkan dalam Konsert Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza mendapat perhatian dan dijadikan berita serta dikongsikan.

“Ada yang kata saya marah (reaksi dan mimik muka dalam video tersebut tanpa suara). Janganlah serius sangat, saya tak marah pun, itu muka saya cuak atau cemas, anda boleh tengok berapa saat sahaja LED itu akan terbuka dan saya kena menyanyi.

“Bayangkan kalau ‘ear monitor’ yang saya pakai tak dibuka. Peralatan ini sangat penting kepada penyanyi untuk mendengar suara dan muzik,” katanya menerusi Instagram.

Jelasnya lagi, nada suara semasa berkomunikasi dengan kru di belakang pentas juga dibuat semasa dalam keadaan cemas, selain hanya mahu melakukan yang terbaik untuk penonton pada konsert Mac lalu itu.

“Saya muat naik video sebenar supaya tiada spekulasi lagi, saya pun benarkan video tersebut disiarkan dalam siaran Astro sebab saya tahu, ada peminat mahu menonton suasana belakang pentas.

“Saya tak marah pun, itu nada suara saya yang mahu memastikan ear monitor saya dibuka dengan segera dan berjalan secara profesional ke depan pentas, terus menghayati dan menghiburkan penonton,” kongsinya lagi.

Dalam masa sama, pelantun lagu Nirmala itu turut berkongsi kisah melalui pelbagai pengalaman sepanjang bergelar penyanyi dan melakukan konsert sebelum ini.

Suasana di belakang pentas ada 1,001 cerita, hanya mereka bekerja sahaja tahu debaran memberikan yang terbaik, mengejar masa, memastikan semuanya tepat dan tentu mahu semua hal teknikal berjalan sempurna.

“Setiap persembahan serta konsert ada cabaran dan pengalaman, kena cekap dan pantas menangani. Saya sendiri ada bermacam-macam pengalaman di belakang pentas dalam konsert-konsert sebelum ini,” jelasnya.

Baru-baru ini, tular video pendek menunjukkan Siti menegur kru belakang pentas mengenai monitor telinganya yang tidak berfungsi beberapa saat sebelum tampil atas pentas.

Rata-rata tertumpu melihat ketegasan Siti kerana tidak pernah melihat keadaan penyanyi itu dalam keadaan marah sebelum ini. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok