Winnie the Pooh ‘mengganas’ 1 Syawal

MENCETUSKAN fenomena global tahun lalu, sekuel filem Winnie the Pooh: Blood and Honey 2 yang sarat babak mengerikan lulus tanpa pemotongan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Bakal ditayangkan di Malaysia bermula esok, filem thriller yang mengubah karakter beruang madu comel, Winnie the Pooh kepada binatang mengerikan diyakini mampu memenuhi kepuasan peminat kisah thriller.

Mengganas di 90 pawagam seluruh negara, Mega Films Distribution mendapat hak pengedaran Winnie the Pooh: Blood and Honey 2.

Wakil pengedar, Cheah Choon Kang
berkata filem sekuel yang ditunggu-tunggu penggemar genre seram itu ditayangkan serentak pada hari raya pertama.

“Dalam sekuel kali ini, Winnie The Pooh turut disertai karakter klasik lain termasuk Tigger dan Piglet yang juga diserlahkan dengan wajah menakutkan selain bersikap kejam.

“Kami alu-alukan kaki wayang beramai-ramai ‘turun’ ke panggung, namun ibu hami, individu dengan masalah jantung atau mudah terganggu dinasihatkan menonton atas risiko sendiri.

“Secara tidak langsung peringatan itu menandakan babak yang dipaparkan cukup panas dan menakutkan di tahap maksima,” katanya.

Menurut Choon Kang, Malaysia mendahului negara jiran seperti Singapura dan Thailand apabila menjadi negara di Asia Tenggara yang mendapat tarikh tayangan awal.

Dalam trailer promosi beberapa babak seolah-olah ditonjolkan untuk memberi penghormatan kepada filem bergenre seram klasik seperti, IT, Scary Stories to Tell in the Dark, The Texas Chainsaw Massacre, Halloween serta Happy Death Day.

Suhu politik di Hong Kong dan China juga membahang akibat kontrovroversi poster filem terbabit menyebabkan tayangan filem tersebut dibatalkan pada saat-saat akhir tanpa sebarang alasan.

Tambah Choon Kang lagi, walaupun menerima respons luar biasa peminat, pengedar di kedua-dua terpaksa akur menarik filem tersebut daripada ditayangkan di pawagam.

“Situasi kurang enak itu turut memberi kesan kepada pengedar di sini sekali gus menyebabkan karya popular tersebut turut gagal ditayangkan di pawagam tempatan ketika itu,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok