Ketipak Ketipung Raya Aisha, Aziz karya spontan

SELEPAS kejayaan lagu duet Jarak tahun lalu, Aisha Retno dan bintang kelahiran Brunei, Aziz Harun bersatu kembali dengan bingkisan istimewa berjudul Ketipak Ketipung Raya.

Lagu ciptaan Aziz Harun dan Aisha Retno bersama dengan bantuan Romeo serta Glowrush selaku penerbit itu sebenarnya merupakan sebuah projek spontan yang tidak dijangka.

Lagu itu lahir secara spontan pada tahun lalu. Pada saat itu saya teringin mempunyai sebuah lagu raya saya sendiri kerana tidak mahu ketinggalan.

“Saya ingin jadikan lagu ini kandungan TikTok. Kebetulan pada waktu itu saya sedang bekerjasama dengan Aisha Retno untuk Jarak, jadi saya bertanya kepada Aisha jika dia sudi bantu menulis lagu ini bersama.

Aisha bersetuju dan kami pun menyiapkan apa yang sempat dan memperkenalkannya di media sosial.

“Kami tak sangka lagu itu mendapat sambutan yang baik, khasnya di laman TikTok. Jadi, kami ambil keputusan untuk merakam dan menyiapkannya dengan betul supaya dapat dilancarkan tahun ini sebelum Aidilfitri,” jelas Aziz Harun.

DIBIKIN secara spontan, lagu raya pertama Aisha dan Aziz, Ketipak Ketipung Raya kini menjadi antara lagu raya yang tular dalam media sosial.

Ditanya apakah maksud di sebalik lirik lagu berkenaan, kedua-dua penyanyi itu memberitahu, pesanan yang disampaikan sebenarnya sangat mudah, iaitu tentang persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Macam biasa, lagu ini juga bawa tema umum yang sering ditampilkan dalam lagu raya lain. Liriknya menggambarkan kekecohan persiapan pagi raya sambil bertanyakan hal-hal biasa seperti sudahkah baju raya dibeli, sama ada juadah hari raya sudah siap dan sebagainya.

“Keseronokan suasana berhari raya tanpa mengira status dan generasi. Dari situ jugalah saya memasukkan unsur tradisional lagu ini, iaitu rentak joget untuk menjadikannya lebih rancak dan menarik,” ujar Aisha Retno.

Dari awal proses sehingga rakaman, pembikinan Ketipak Ketipung Raya juga langsung tiada halangan dan berjalan dengan sangat lancar.

“Proses rakaman sebenarnya sangat cepat. Kami menyiapkannya dalam masa beberapa jam sahaja.

Masing-masing hanya ambil masa tiga jam untuk proses rakaman vokal dalam studio.

“Saya masih ingat, semua itu berlaku pada hari Ahad dan lagu itu pun sudah hampir siap kerana kami hanya perlu memasukkan bahagian ‘bridge’ dan rangkap kedua kerana bahagian pertama lagu sudah pun dikeluarkan di media sosial pada tahun sebelumnya,” tambah Aziz lagi.

Ketipak Ketipung Raya turut menampilkan sebuah video muzik yang dirakam dalam sekali harung sahaja.

“Saya harap anda semua akan menyukai lagu raya pertama kami yang juga memberi penghormatan kepada rentak joget.

“Sengaja menampilkan unsur joget dalam lagu dan memberi sedikit nafas baharu supaya lebih diminati dan dihargai, khasnya dalam laman media sosial seperti TikTok,” kata Aisha. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok