MESKI pernah menempelak usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri, pelakon Sharnaaz Ahmad membuat pusingan U (U-turn) dengan menganggap kehadiran individu itu mewarnai indsutri hiburan tanah air.
Sharnaaz atau nama lengkapnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 39, menyifatkan Aliff sebagai penghibur tatkala pelbagai kontroversi artis hangat diperkatakan dalam media sosial.
“Kalau tiada dia dalam dunia seni bosan juga. Asyik isu cerai, gaduh, putus cinta atau masuk lokap (semua itu akulah).
Dia ibarat warna dan corak dalam industri. Walaupun orang kecam tetapi individu sepertinya tetap akan hibur dan cari masalah untuk tontonan kita,” katanya menerusi InstaStory.
Dalam masa sama, pelakon filem Jebat itu turut berharap orang ramai berhibur dengan sajian yang dimuat naik Aliff menerusi media sosial selagi masih ada dalam industri seni.
Berseronok sahajalah selagi dia masih ada. Salam Ramadan,” ujarnya pendek.
Sebelum ini, perkongsian sedutan lagu raya Aliff menerusi akaun Instagramnya mengundang kecaman ramai apabila dia dan beberapa penari mengenakan kostum ketat aneh.
Malah, gaya persembahan mereka yang disifatkan melampau didakwa mencemarkan bulan Ramadan, sekali gus menjadi bahan kritikan netizen dalam media sosial. – HIBGLAM