Ziana Zain sebar ilmu bebas hutang

KREDIBILITI dan integriti penyanyi dengan suaran lantang Ziana Zain  tidak perlu lagi dipertikaikan.

Selepas 33 tahun bergelar anak seni, Ziana sudah mencetak banyak sejarah dalam dunia hiburan tempatan dengan deretan kejayaan dan pengiktirafan dalam dan luar negara.

Atas faktor itu juga, pihak CSA Academy, yang juga merupakan duta rasmi organisasi nombor satu Malaysia tertarik untuk melantik pesohor seni legenda itu sebagai duta rasmi mereka dalam usaha untuk membantu merancang kewangan yang lebih tersusun, cemerlang dan bebas hutang.

Dengan mengambil inspirasi dan liku perjalanan pahit manis Ziana sepanjang berada dalam industri seni, orgnisasi terbabit menjadikan diva pop itu sebagai contoh individu yang berjaya mengekalkan reputasi baik selama lebih daripada 30 tahun sebagai anak seni.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif CSA Academy, Dr. Jay Ong berkata, pemilihan pelantun lagu Puncak Kasih itu sebagai duta adalah disebabkan reputasi, integriti, kredibiliti dan semangat juang yang ada dalam diri penghibur terkenal itu.

Mengapa tidak Ziana Zain? Kami percaya, sebagai rakyat Malaysia, tidak kira Melayu, Cina atau India, semua kaum akan mengenali siapa Ziana. Dia seorang legenda.

“Penghibur yang telah menawan peminat dengan karisma dan vokalnya menerusi lagu-lagu hebat seperti Madah Berhelah, Puncak Kasih, Kemelut Di Muara Kasih dan Lara serta lakonan mantapnya dalam filem Maria Mariana.

“Kami yakin pemilihan Ziana sebagai duta rasmi adalah tepat. Reputasi serta semangat juang yang ada dalam diri Ziana, seiring dengan matlamat CSA Academy untuk menuju kegemilangan yang serupa,” katanya ketika majlis pelantikan Ziana sebagai duta rasmi di Sunway Resort Hotel di sini, baru-baru ini.

PEMILIHAN Ziana sebagai duta adalah disebabkan reputasi, integriti, kredibiliti dan semangat juang yang ada dalam diri penghibur terkenal ini.

Seiring pelantikan pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain itu sebagai duta rasmi CSA Academy, sebuah lagu istimewa berjudul Semangat Wira juga dihasilkan untuk menyerap roh dan perjuangan tanpa mengenal erti jemu.

Penghormatan

Sementara itu, Ziana, 55, menyifatkan pelantikannya sebagai satu penghormatan bukan hanya untuk dirinya, tetapi turut memikul tanggungjawab besar menyebarkan informasi tentang pengurusan kewangan atau beban hutang yang perlu dihebahkan kepada semua.

“Saya melihat pelantikan ini sebagai sebuah penghormatan yang besar bukan untuk saya secara peribadi, tetapi juga sebagai tanggungjawab untuk menyebarkan informasi tentang cara untuk menjalani kehidupan bebas hutang melalui pengurusan kewangan yang betul.

Sejujurnya, saya sendiri suka perkara seperti ini (mewakili CSA Academy) kerana secara tidak langsung dapat bertemu ramai orang, menjana ilmu dan pengalaman baharu terutama untuk menguruskan kewangan.

“Maklumlah, kadang-kadang kita berbelanja tidak sepadan dengan hutang. Jadi CSA Academy membantu dengan memberi ilmu bagaimana menguruskan semuanya dengan bijak,” ujarnya.

SELAIN Ziana, CSA Academy terlebih dahulu telah melantik dua figura terkenal iaitu pelakon berkaliber, Datuk Jalaluddin Hassan dan Angkasawan Pertama Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Tidak keseorangan, CSA Academy turut melantik duta rasmi dalam kalangan individu berpengaruh seperti Angkasawan Pertama Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan aktor berkaliber Datuk Jalaluddin Hassan.

Terdahulu, CSA Academy diumumkan selaku penaja utama Konsert Ziana Zain 2024 yang dijadual berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 25 Mei 2024.

Konsert tersebut anjuran Anuar Zain Network Sdn. Bhd. dan Ziana Zain Network Sdn. Bhd. dengan kerjasama Altus ProHouse.

Bercakap mengenai kolaborasi mereka, Ziana berterima kasih kepada CSA Academy kerana menunaikan impian kembali mengadakan konsert selepas kali terakhir menghiburkan peminatnya dalam persembahan berskala besar pada 2001. – HIBGLAM

ZIANA berbesar hati apabila dilantik sebagai duta rasmi CSA Academy iaitu sebuah organisasi untuk membantu merancang kewangan yang lebih tersusun, cemerlang dan bebas hutang kepada masyarakat.

SELAIN Ziana, CSA Academy terlebih dahulu telah melantik dua figura terkenal iaitu pelakon berkaliber, Datuk Jalaluddin Hassan dan Angkasawan Pertama Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok