Berlakon dengan artis kontroversi? Saya okey – Izzue Islam

SAYA tak kisah berlakon dengan artis terpalit kontroversi.”

Itu kata pelakon dan penyanyi Izzue Islam yang tidak menolak andai digandingkan dengan aktres yang pernah terpalit kontroversi meski berdepan risiko dikecam.

Malah, Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 34, menegaskan enggan masuk campur urusan penggiat seni lain apatah lagi jika mereka tidak pernah ada masalah dengannya.

“Kalau ada tawaran bergandingan dengan artis kontroversi, saya tetap anggap itu rezeki.

Kenapa kena tolak tawaran, sedangkan pelakon berkenaan tiada masalah dengan saya? Kita tidak duduk dalam kasut mereka dan tak tahu perkara sebenar jadi jangan tuding jari kepada sesiapa.

“Saya tak suka bermusuh atau mengasingkan diri. Mungkin artis itu bermasalah tapi dia tiada masalah dengan saya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Ditanya mengenai memilih untuk mengunci mulut tatkala dunia hiburan kecoh memperkatakan kontroversi membabitkan pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies, Izzue berkata dia bimbang perkara tersebut boleh terpalit kepada dirinya suatu hari nanti.

Jujur, perasaan risau tetap ada dan perlu ada pada setiap orang supaya kita lebih peka dalam setiap keadaan. Saya tidak lantang bersuara mengenai kontroversi ini kerana bimbang orang akan ‘tembak’ semula jika perkara sama berlaku kepada saya.

“Ketika ini rakan sedang diuji, tak kiralah siapa salah, benar atau memulakannya. Jadi, kita doakan semoga mereka dapat jalani ujian dengan baik dan semuanya dipermudahkan.

“Kalau asyik nak cakap perkara sama, memang tidak akan habis. Takut juga kalau terus bercakap dan berada dalam keadaan tertekan, kita pula dituduh jadi punca masalah kesihatan mental,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok