SELEPAS lebih empat dekad mencurah keringat dan bakat di layar perak, akhirnya pelakon Robert Downey Jr. berjaya menggenggam trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Anugerah Academy ke-96 menerusi filem Oppenheimer baru-baru ini.
Kemenangan tersebut cukup manis apabila aktor yang terkenal dengan watak Iron Man itu menewaskan pelakon hebat yang lain iaitu Sterling K Brown, Ryan Gosling, Mark Ruffalo dan Robert De Niro.
Ironinya, Robert membawa pulang trofi Oscar buat julung kalinya selepas pernah dicalonkan sebanyak tiga kali.
Sebelum ini, dia pernah tercalon untuk kategori Pelakon Terbaik menerusi filem Chaplin pada 1993 dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk filem Tropic Thunder (2009).
Bagi Robert, selain watak Lewis Strauss yang dilakonkan dalam filem Oppenheimer di samping aktor Cillian Murphy, episod gelap zaman kanak-kanaknya telah membentuk karakternya hari ini dan menjadikannya seorang pelakon yang baik.
Terima kasih zaman kanak-kanak saya yang cukup teruk dan terima kasih kepada isteri, Susan Downey.
“Dia (isteri) menjumpai, menyelamatkan dan menyayangi saya sehingga saya ‘hidup’. Sebab itu, saya berada di sini hari ini,” ucapnya di atas pentas selepas menerima trofi daripada aktor gandingannya dalam Iron Man 2, Sam Rockwell.
Menyentuh tentang kejayaan filem Oppenheimer yang membawa pulang tujuh trofi Oscar, lelaki berusia 58 tahun itu menyifatkan sutradara Christopher Nolan figura genius.
“Dia (pengarah), cukup bijak mengemudi perjalanan filem dan menjadikan satu pasukan terbaik dalam tugas masing-masing.
Saya sangat menyayangi francais Marvel, setelah 12 tahun menjadi Iron Man, impian saya adalah mahu membintangi sebuah filem dengan konsep berbeza daripada Marvel, tetapi dalam masa sama memberi impak kepada diri sendiri dan penonton.
“Saya menggapai semua impian tersebut dalam Oppenheimer dan menyifatkannya sebagai salah satu filem terbaik yang pernah saya lakonkan,” kata Robert lagi.
Berbalik kepada ucapan mendalam Robert buat isterinya, Susan, mungkin ramai yang tidak tahu sejarah hitam dalam kehidupannya sebelum bergelar seorang pelakon terkenal Hollywood.
Ketika bertemu dengan isterinya, Susan di set penggambaran filem Gothika pada 2003, bintang kelahiran New York, Amerika Syarikat itu berada di fasa paling bawah dalam kehidupannya.
Wanita itu yang membantunya untuk bangkit semula dalam industri seni selepas kegagalannya dalam perkahwinan pertama dan peperangannya dengan masalah ketagihan dadah.
Jujur saya katakan hari saya menerima Oscar seolah-olah mengimbas kembali hari perkahwinan saya dan isteri.
“Kami diberi bilik hotel untuk bersiap ke majlis anugerah dan ketika itu kami berdua diserang anxiety. Perasaan yang sama ketika hari perkahwinan dan kami pulang bersama trofi dengan perasaan yang cukup bahagia.
Satu rahsia yang ramai orang tidak tahu adalah saya lebih memerlukan pekerjaan ini (tugas sebagai suami kepada Susan) daripada dia memerlukan saya. Disebabkan dia, anda melihat saya sebagai lelaki yang lebih baik pada hari ini,” kongsi Robert tentang isterinya.
Sambungnya lagi, selain sebagai pasangan, isterinya juga adalah seorang penerbit yang merupakan rakan kongsinya untuk banyak projek seni yang telah dirancang.
Selepas memenangi Oscar, Robert bakal muncul dengan mini siri terbaharu di HBO berjudul The Sympathizer yang diadaptasi daripada novel terlaris 2015 nukilan Viet Thanh Nguyen.
“Kami sentiasa berbual tentang pelbagai perancangan untuk masa depan. Selepas Oscar, saya dan isteri bekerjasama menerbitkan mini siri The Sympathizer.
“Demi mini siri ini saya harus membuat tranformasi penampilan diri. Siri ini tidaklah terlalu berat tetapi saya cukup berbangga dengan hasilnya,” kata Robert lagi.
Baca artikel penuh di Kosmo! Online atau dapatkan akhbar secara fizikal di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM