SELAMAT ulang tahun adikku. Akak doakan yang paling terbaik untuk adik dan anak-anak”.
Demikian titipan ucapan penyanyi Adira untuk sahabatnya, Bella Astillah sempena ulang tahun ke-30 pelakon itu, hari ini.
Berlatarkan lagu Selamat Ulang Tahun dendangan penyanyi asal Lombok, Gellen Martadinata, bait liriknya menggambarkan luahan Adira atau Siti Adira Suhaimi terhadap teman yang sedang berduka.
Malah, penyanyi lagu Takdir Tercipta itu turut menyatakan sentiasa menyayangi Bella yang sudah dianggap seperti adik sendiri sehingga ke akhir hayat.
Akak sayang adik dunia akhirat,” tulisnya lagi yang turut menyertakan klip video sedang menenangkan isteri kepada Aliff Aziz itu.
Menerusi video tersebut, Kelihatan Adira yang mengenakan pelitup muka memujuk dan sesekali memeluk Bella yang menangis.
Dipercayai video berkenaan dirakam ketika Adira menemani Bella dan adiknya, Didi Astillah ke lokasi tangkapan khalwat penyanyi Aliff Aziz bersama pelakon Ruhainies pada 9 Mac lalu.
Menerusi semakan HibGlam, perkongsian Adira itu meraih perhatian pengikut Instagramnya yang turut berkongsi perasaan sedih dengan nasib Bella.
Meninjau ruangan komen, rata-rata meluahkan rasa simpati dengan situasi dilalui ibu kepada dua anak itu yang menerima ‘hadiah’ suami dicekup Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan rakan baiknya sendiri menjelang hari jadinya.
Selain memuji sikap Adira sebagai teman susah senang walaupun dirinya sendiri dalam proses perceraian, netizen turut menyuntik kata-kata semangat buat Bella.
“Inilah kawan sejati, bukan kawan masa senang saja. Sekarang Bella dalam musibah, Adira datang sekurang-kurangnya mendamaikan hati,” tulis seorang netizen.
“Kasihan sekali menjelang hari jadi hadiah dari suami adalah selingkuh Dan ditangkap khalwat. Jangan menoleh lagi Bella,” kata pengikut laman sosial lain.
“Bina hidup baru Bella. Ada kehidupan jauh lebih bahagia dan seronok menanti Bella. Terus kuat,” ujar seorang lagi netizen. – HIBGLAM
View this post on Instagram