TV AlHijrah sedia 22 program sepanjang Ramadan

MENGANGKAT tema Ramadan Mentadabbur Keindahan, stesen televisyen TV AlHijrah menyajikan lebih 22 program bermanfaat untuk mendidik jiwa dengan ilmu, dakwah serta hikmah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, TV AlHijrah sebagai medium menyalurkan pendidikan kemasyarakatan yang memupuk semangat cintakan Islam, selain saling bantu-membantu.

Menjadi hasrat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk terus melihat TV AlHijrah sebagai stesen terulung dalam menyebarkan syiar Islam serta mesej kerajaan khususnya agenda membangun Malaysia Madani.

“Syukur, berkat kesungguhan seluruh warganya, stesen ini sentiasa meraih kepercayaan penonton, sekali gus menjadi pilihan ramai terutama sepanjang Ramadan.

Pengisian Islamik berganda

“Kehadiran bulan mulia ini menggandakan lagi pengisian dalam menghayati al-Quran dan kali ini TV AlHijrah memperuntukkan 141 jam siaran bagi empat rancangan istimewa,” katanya selepas perasmian program Ramadan Menta­dabbur Keindahan TV AlHijrah di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Buat pertama kali, TV AlHijrah juga julung kali bekerjasama dengan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang juga kolaborasi menarik lebih ramai penonton.

Menurut Mohd. Na’im, selain rancangan khas iaitu Syahadah al-Furqan, Khatam Ramadan, Tadarus Quran@114 dan Kapsul Taranum Challenge, segmen lain termasuk drama dan filem.

Katanya, tahun ini sebanyak 22 rancangan disenaraikan dengan pecahan program terbitan dalaman termasuk Apa Cerita Kome bersama Ustaz Kazim Elias, Ihya Ramadan, Ibrah Ramadan, Camca, Sembang Moreh, Peristiwa Ramadan, Ayat Riwayat Risalah Anbiya selain satu program konten penjenamaan iaitu Ehsan.

Buat pertama kali TV AlHijrah juga akan menyiarkan drama bersiri Arab yang memaparkan kisah perjalanan hidup seorang daripada empat tokoh imam mujtahid masyhur yang membangunkan empat mazhab fiqah terbesar dalam Islam iaitu Imam Al-Syafie.

“Drama Risalah Imam Al-Syafie ini akan disiarkan sebanyak 30 episod sia­ran, selain dua filem terbaik Ramadan, Imam dan Perjalanan Pertama,” ujarnya.

Kerjasama

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, stesen televisyen itu juga julung kali bekerjasama dengan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang juga kolaborasi menarik lebih ramai penonton.

“Kami merupakan stesen media pertama yang bekerjasama dengan ETS KTMB dengan meletakkan TV AlHijrah di dalam tren dan kalau dilihat ETS sekarang menjadi pilihan pengguna.

“Kerjasama setahun ini diharap dapat mempromosikan TV AlHijrah, sekali gus menjadikan stesen ini sebagai antara medium dakwah yang mampu memberikan manfaat berganda buat khalayak.

“Susulan kerjasama kami beberapa program yang melibatkan tren ETS dengan stesen ini bakal direalisasikan sepanjang tempoh ini serta bulan seterusnya,” katanya.

Sebanyak 308.5 jam diperuntukkan untuk menayangkan kesemua rancangan sepanjang Ramadan dengan peningkatan sebanyak 17.8 peratus jam siaran berbanding tahun lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok