Aina Abdul kekal relevan, hatrik vokal terbaik

DISIFATKAN sebagai penyanyi bijak apabila mampu menyesuaikan vokal dalam lagu Jangan Mati Rasa Itu sehingga sekali lagi diiktiraf di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) membuktikan keampuhan jenama anak seni bernama Aina Abdul.

Gelaran Vokal Terbaik yang dirangkul tiga tahun berturut-turut sejak AJL36 juga petanda kedudukannya sukar digugat.

Kalau dalam istilah suka bola sepak, pencapaian tersebut sudah dianggap hatrik luar biasa.

Bukan hanya markah juri, pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani, 30, turut meraih kepercayaan peminat yang mengangkatnya sebagai Penyanyi Pilihan Alha Alfa.

Bagi Aina, tiga trofi yang dibawa pulang pada Ahad lalu termasuk tempat ketiga di belakang naib juara, Sutera nyanyian Aisha Retno serta juara iaitu Hasrat dendangan Amir Jahari adalah hasil dorongan insan sekeliling.

MASIH sebuah malam penuh momen. Aina membawa pulang trofi Tempat Ketiga, Vokal Terbaik dan Penyanyi Pilihan Alha Alfa pada AJL38. – INSTAGRAM AINA ABDUL

“Semua ini berkat doa dan sokongan semua yang sentiasa suntik semangat. Saya sangat mensyukuri rezeki yang dikurniakan ini.

Apabila dikatakan mampu mempertahankan vokal, saya gembira kerana perjalanan seni vokal saya agak panjang. Saya belajar dengan ramai guru hebat sejak tingkatan 5.

“Memenangi trofi kategori vokal ini sebenarnya adalah untuk guru vokal saya. Ramai yang saya kagumi termasuklah Marsha Milan dan Ernie Zakri. Mendengar cara nyanyian mereka juga memberikan satu pelajaran buat saya,” ujarnya.

Semua pengiktirafan yang diterima menjadi sebuah anugerah kesyukuran tidak ternilai sepanjang naratif seninya.

‘Terbang’ 30 kaki

“Secara peribadi, AJL38 akan paling saya ingat sampai bila-bila. Nak cakap saya sedih mendapat tempat ketiga maksudnya, saya tak bersyukur.

Malah itu akan mengenepikan tujuan asal saya menulis lagu tersebut kerana saya suka semua finalis edisi kali ini yang mempunyai kekuatan masing-masing,” katanya yang tidak putus mengucapkan syukur.

Selain vokal memukau, Aina tampil mengikut konsep ‘pohon kehidupan’ bersama props pokok dan dedaun kering kelayuan selain sanggup terbang di awang-awangan pada ketinggian 30 kaki.

MENGGUNAKAN khidmat pereka fesyen Melinda Looi, tempoh hampir dua minggu diambil bagi menyempurnakan busana berindentitikan pokok dan akar untuk AJL38.

Kesungguhan dan keberanian anak seni berjiwa besar itu ternyata meraih sorakan serta tepukan sambil berdiri (standing ovation) lebih 10,000 penonton Axiata Arena.

50 liter haruman

Pada masa sama, dia menyifatkan pokok mati berlatarkan musim luruh sebagai simbolik rasa cinta yang terus mekar dalam hati.

Menghuraikan konsep diketengahkan, Aina berkata, perlambangan akar menjalar mencerminkan hati yang masih kukuh, biarpun pohon kelayuan.

KSI tergantung Aina semasa persembahan Jangan Mati Rasa Ini di pentas AJL38 membawa simbolik melepaskan cinta dari dalam jiwa meraih tepukan gemuruh lebih 10,000 penonton di Axiata Arena.

Walaupun pokok tidak subur dengan ranting keras mengering dan hampir mati, namun akar di bawah tanah masih menjalar seperti hati yang terus kukuh mencintai biarpun jiwa tersakiti,” luahnya.

Berkongsi lagi keistimewaan persembahannya, Aina menggunakan sebanyak 50 liter haruman bagi mencetuskan bauan semerbak gelanggang semasa beraksi.

Baca artikel penuh menerusi Kosmo! Online atau dapatkan akhbar secara fizikal di kedai-kedai berdekatan. 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok