Anuar puas, tebus kecewa

PENGANJURAN konsert AZ40 Exclusive Up Close & Personal Anuar Zain yang berlangsung di Jiospace, Petaling jaya pada 17 Februari lalu melahirkan rasa puas luar biasa dalam diri penghibur berkaliber itu.

Walaupun sekadar konsert berskala kecil dengan jumlah penonton sekitar 1,000 orang, Anuar atau nama lengkapnya Shahrul Anuar Zain dapat menebus kembali kekecewaan dirinya dan juga peminat sewaktu konsert Anuar Zain 40th Anniversary (AZ40) yang diadakan pada Oktober tahun lalu di Stadium Malawati, Shah Alam.

Ketika mengadakan konsert yang dihadiri kira-kira 8,000 peminat itu sebelum ini, Anuar berada dalam keadaan kurang sihat apabila mengalami demam dan batuk teruk, seminggu menjelang konsertnya.

Selain sukar untuk menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi, penyanyi itu juga terpaksa menggunakan nebulizer sepanjang konsert untuk memulihkan kembali pernafasannya setiap kali selesai menyanyi.

MENERUSI konsert kali ini, Anuar menghiburkan pengikut setianya dengan 20 lagu popularnya.

Namun, berbeza dengan nuansa konsertnya di Jiospace baru-baru ini. Dia nampak lebih bertenaga. Malah, tidak menunjukkan tanda lelah, walaupun turun dari pentas beberapa kali untuk mendekati peminat.

Konsert kali ini saya rasa lebih sihat berbanding tahun lalu. Saya berdoa pada Tuhan supaya diberikan kekuatan dan reda dengan apa jua yang berlalu.

“Alhamdulillah, saya dapat lakukan yang terbaik untuk peminat. Dengan semangat penonton juga membuatkan saya lebih bertenaga untuk memberikan persembahan terbaik buat mereka,” katanya.

Anuar mempamerkan semangat luar biasa, malah sesekali dia turut melompat-lompat sebagai tanda teruja melihat semangat penonton yang hadir menyaksikan persembahannya.

Menariknya, konsert kali ini bukan sahaja dihidangkan dengan persembahan bertenaga daripada Anuar, tetapi juga penonton turut dihadiahkan dengan buah tangan berupa anak patung beruang untuk setiap seorang peminat.

Sebagai tanda penghargaan, Anuar tidak lokek untuk mengagihkan lebih 1,000 buah anak patung beruang kepada peminat, sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang buat mereka.

“Tujuan saya memberikan anak patung beruang itu kepada peminat adalah sebagai tanda kenang-kenangan dan simbolik kasih sayang buat mereka.

Idea untuk memberikan anak patung beruang ini datang daripada pengurusan Anuar Zain Network sendiri. Demi peminat, kami mengeluarkan belanja lebih dengan memberikan hadiah anak patung beruang.

“Terdapat tiga saiz anak patung beruang yang diberikan iaitu kecil iaitu sebanyak 800 unit, sederhana (250) dan dua buah anak patung beruang bersaiz besar untuk diberikan kepada peminat serta pasukan produksi yang menjayakan konsert saya,” kata Anuar.

SERAMAI 1,000 peminat setia Anuar hadir untuk memberikan sokongan kepada penyanyi kesayangan mereka.

Pada konsert yang berlangsung sekitar dua jam itu, Anuar turut kelihatan santai apabila memilih untuk memakai pakaian yang terlihat lebih kasual.

Katanya, jika sebelum ini dia sering tampil mengenakan sut sewaktu membuat persembahan pentas, namun kali ini dia memilih untuk mengenakan jaket, berseluar jeans dan berkasut sneakers sahaja.

“Sebenarnya saya jarang mengadakan persembahan pentas dengan memakai jeans dan berkasut sneakers. Selalunya saya akan mengenakan sut untuk tampil lebih kemas.

Tapi konsert kali ini, saya mahu semuanya nampak santai. Sebab itu saya hanya mengenakan jaket merah daripada pereka tersohor negara, Datuk Bernard Chandran, berseluar jeans dan kasut sneakers. Saya rasa lebih selesa dan mudah untuk bergerak,” katanya.

PENYANYI kesayangan ramai ini turut menerima kejutan berupa sebiji kek bersaiz gergasi bersempena hari lahirnya yang jatuh pada tanggal 15 Februari lalu.

Ketika konsert AZ40 Exclusive Up Close & Personal, Anuar menghiburkan kira-kira 1,000 orang peminatnya dengan deretan 20 buah lagu popularnya seperti Sedetik Lebih, Sesucinya Cintamu, Lelaki Ini dan Andainya Takdir.

Selain itu, Anuar turut menerima kejutan berupa sebuah kek bersaiz gergasi daripada produksi bersempena sambutan hari lahirnya yang jatuh pada 15 Februari lalu.

Selain peminat Malaysia, penghibur itu turut menerima kedatangan peminat dari negara jiran seperti Singapura dan juga Indonesia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok