PENYANYI Noh Salleh menafikan dia menculik anak angkatnya, Musa pada 19 Disember lalu seperti yang didakwa bekas isterinya, Mizz Nina.
Menurut Noh atau nama penuhnya Muhammad Noh Salleh, 39, dakwaan Mizz Nina yang menyatakan dia membawa lari Musa pada Disember lalu adalah tidak benar sebaliknya perkara itu sudah diketahui oleh bekas isterinya itu.
“Saya dah dapat surat penyerahan daripada ibu kandung Musa dan Nina tak boleh mendakwa saya menculik Musa.
“Saya tak culik musa, kalau saya culik, pasti saya akan sorokkan dia.
“Saya pergi Sabah sebab ada persembahan dan saya tunjuk Musa ada dengan saya. Saya mencari Nina dan ajak dia berbincang untuk menjaga Musa bersama-sama,” katanya kepada Kosmo! Online di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Shah Alam bagi prosiding Sulh di sini, hari ini.
Vokalis kumpulan Hujan itu juga berulang kali menyatakan mahu hak penjagaan Musa dibahagi sama rata antaranya dengan Nina.
“Kalau boleh nak jaga sama-sama, mahu 50-50.
“Ada sebab saya buat benda ini. Saya takkan suka-suka nak masuk campur hal rumah tangga orang.
“Semua untuk kebaikan Musa. Musa bukan anak dia (Nina),” jelasnya yang diwakili dua orang peguam iaitu Megat Syazlee Mokhtarom dan Muhammad Shamsyuar Jasmin.
Hari ini, peguam mewakili Mizz Nina selalu plaintif iaitu Fakhrul Azman memaklumkan prosiding Sulh tidak berlangsung susulan Nina telah menarik semula kes penjagaan penuh bagi anak angkatnya, Musa dan Inter-parte bagi hak penjagaan sementara.
Mizz Nina bagaimanapun tidak hadir bagi prosiding hari ini sebaliknya diwakili suaminya iaitu Essam Muhammad.
Terdahulu, Mizz Nina mendakwa Noh membawa keluar anak angkatnya, Musa tanpa kebenaran dan pengetahuan pihaknya.
Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman, 44, mengakui perkara yang disifatkan sebagai satu pengkhianatan itu memberikan kesan emosi kepadanya apatah lagi dia adalah ibu susuan Musa dan tidak pernah berjauhan dengan anaknya selama itu.
Mizz Nina sebelum ini mendakwa kejadian anaknya dibawa keluar dari rumah berlaku pada 19 Disember tahun lalu ketika dia dalam penerbangan ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.
Mizz Nina kemudiannya mendapatkan perintah mahkamah untuk mendapatkan semula Musa.
Noh dalam kenyataan kepada media pula berkata, tiada langsung unsur penculikan seperti yang didakwa, malah sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.
Noh kemudian tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dituntut ibu kandung, Musa, yang hanya mahu dikenali sebagai Athira.
Noh, 39, menerusi hantaran di Instagram (IG), berkata, dia juga akan mengikut beberapa tuntutan lain seperti menarik balik kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini termasuk memadam gambar Musa dalam media sosial. – HIBGLAM
View this post on Instagram