Ritma dan Rima lambang cinta alam

MENJADI antara pasangan selebriti contoh dalam melayari rumah tangga, Akim dan Stacy juga cukup serasi berpadu suara dalam arena nyanyian.

Biarpun masing-masing tegar dengan aliran genre pilihan, jalur dua muzik berbeza tampak serasi apabila mereka menyatu dalam sesebuah projek.

Terbaharu single berjudul Ritma dan Rima menonjolkan semula keserasian penyanyi yang bergelar suami isteri itu sejak lapan tahun lalu, sekali gus meneruskan momentum usai kejayaan duet pertama, Aku Kau dan Muzik terbitan 2020.

Teruskan magis

Kali ini, pasangan penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia itu meneruskan momentum dalam single duet kedua mereka yang dicerna sehabis baik demi memenuhi selera pendengar.

Sentuhan Hang Nadim dan Bunga Cantik, karya berkenaan menceritakan interaksi antara mereka dengan alam, manakala susunan muzik pula mendapat sentuhan Freddy.

Stacy atau Ummu Syaikhah Stacy Anam berkata, lagu Ritma dan Ritma itu cukup istimewa kerana dihasilkan dari hati, selain melalui proses rakaman yang sangat teliti.

“Idea tercetus apabila saya mendapat inspirasi melodi korus lagu ini dan kemudian menggarap ilham bersama Akim. Selepas itu kami mendapatkan khidmat Freddy untuk susun lagu ini.

“Selepas tampil dengan lagu Aku Kau dan Muzik, kami memang merancang untuk meneruskan momentum magis yang dicipta menerusi duet pertama dan akhirnya bertemu arah tuju bahawa muzik menyatukan perbezaan kami.

“Lagu ini bercerita mengenai komunikasi kami dengan alam semesta yang mana liriknya menghubung kait dengan fauna, flora, awan dan semua hidupan yang bergerak mengikut rentak serta irama di dunia ini.

“Kelebihan lagu ini kerana alunan setiap bait melodi mengikut tempo dan ritma alam, sekali gus menyuntik elemen segar, mendorong kita agar lebih menghargai hidupan sekeliling,” kata penyanyi berusia 33 tahun itu.

Lebih bermakna, karya yang dihasilkan dengan sepenuh jiwa tersebut merupakan produk berlabelkan Rhythm & Rhyme Entertainment (R&R Entertainment) milik mereka.

Nuansa muzik baharu

Akim atau nama sebenarnya, Afiq Hakim Ahmad pula tidak menyangka penghasilan lagu berkenaan lebih mendalam, sekali gus memberikan nuansa baharu dalam jalur muzik mereka.


MUZIK video Ritma dan Rima sudah mencatatkan sebanyak 67,000 tontonan sejak dilancarkan 18 Januari lalu.

Bercerita mengenai muzik video yang menjalani penggambaran di Sik, Kedah sekitar penghujung 2023, Akim bersyukur segala perancangan berjalan lancar biarpun melalui fasa sulit.

“Stacy menemui lokasi penggambaran bagi muzik video ini menerusi TikTok yang bertepatan dengan konsep dan lirik lagu ini.

“Perjalanan ke sana mengambil masa enam jam, untuk sampai ke lokasi pula kami kena mendaki pula selama sejam.

“Seawal jam 6 pagi lagi kami tiba untuk merakamkan momen matahari terbit yang turut disertai anak-anak.

“Pengalaman menuju puncak pun bukan mudah, namun hasilnya sangat memuaskan hati apatah lagi turut meninggalkan pengalaman berharga buat kami sekeluarga,” luahnya.

Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret mengakui projek kali ini membuatkan mereka semakin selesa bekerjasama sebagai pasangan komposer.

“Sejujurnya, keserasian menggandakan lagi keselesaan untuk bekerjasama dengan lebih kerap selepas ini selain membolehkan kami meluangkan masa bersama.

“Proses buat lagu juga bukan mudah, memerlukan masa tetapi kami ambil peluang bercuti dan berkaraoke mencari inspirasi sebelum menggabungkan ilham.

“Semua momen yang kami lalui sepanjang penghasilan lagu serta muzik video menjadikan Ritma dan Rima lebih istimewa untuk kami kongsi dengan peminat,” kata Stacy, ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi.

Single Ritma dan Rima kini boleh didengar dan dilanggan menerusi platform digital muzik, manakala lirik video rasmi lagu boleh ditonton di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment.

Sejak dilancarkan pada 18 Januari lalu, muzik video lagu berkenaan sudah mencatatkan sebanyak 67,000 tontonan, satu pencapaian yang agak memberangsangkan.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok