‘Rezeki saya dapat mentua baik, selesa tinggal sebumbung’

SELESA tinggal sebumbung dengan mentua, penyanyi dan pelakon Marsha Milan menzahirkan rasa syukur dikurniakan ibu mentua yang memahami dan baik hati.

Kongsi Marsha, sebagai menantu dia sentiasa mengamalkan sikap bertimbang rasa selain mencipta persekitaran positif demi mengekakalkan hubungan yang harmoni.

“Pada awalnya memang kekok, tetapi lama-lama nanti kita sendiri akan ada rasa tanggungjawab sebagai isteri dan menantu, perlu wujud sikap tolak-ansur dan terima perkara ini sebagai benda positif, jangan sesekali fikir negatif.

Alhamdulillah, saya bersyukur sangat sebab dapat ibu mentua yang sangat memahami, baik dan sempoi, rezeki saya. Sebenarnya semuanya datang daripada diri sendiri, bagaimana kita menangani setiap situasi

“Saya sebagai isteri tidaklah rasa diri bos dekat rumah, kita kena juga turun tolong dekat dapur dan sebagainya, pandai-pandai ambil hati, jangan berkurung dalam bilik sahaja,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya adakah terfikir untuk tinggal berasingan dengan mentua supaya lebih bebas, pelantun lagu Darah itu berkata, tidak pernah terlintas di hati untuk berbuat demikian sebaliknya bersyukur dapat menjaga makan minum ibu mentuanya.

“Tidak pernah terlintas pun di fikiran atau berbincang dengan suami untuk duduk asing, biarlah orang tua kita ada depan mata. Inilah masanya untuk berbakti, senang kalau sakit atau apa-apa, ada dekat.

Memang tiada perancangan pindah. Tidak mengapalah saya sebumbung dengan mentua, asalkan kita terus menunaikan tanggungjawab sebagai anak, menantu dan isteri yang baik.

“Kuncinya adalah kesefahaman, tolak-ansur dan timbang rasa, kena sedar ruang dan situasi. Jika niat kita baik, semuanya akan jadi baik,” katanya.

Marsha mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada tahun 2015.

Bagaimanapun, aktres berusia 39 tahun itu masih belum dikurniakan rezeki untuk memiliki cahaya mata meskipun sudah sembilan tahun bergelar isteri. – KOSMO! ONLINE.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok