SUDAH lebih seminggu saya sakit. Ini pertama kali saya semput, sebelum ini langsung tak pernah alami.”
Demikian perkongsian penyanyi Liza Hanim yang berasa bimbang tahap kesihatan kurang memberansangkan akan menganggu kelancaran konsert solo sulungnya, Liza Hanim 27 Years Journey In Concert di Zepp Kuala Lumpur pada Ahad depan.
Menurut Liza atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abdul Halim, 45, antara masalah kesihatan yang dialaminya ketika ini ialah demam, sakit dada dan semput untuk menyanyikan nada tinggi.
Kalau ikut apa yang doktor cakap, sakit ini berpunca daripada virus, tapi tak tahu jenis apa, bukan Covid-19 atau influenza.
“Semua ini sesuatu yang baru buat saya tetapi bersyukur kerana pasukan dan guru vokal, Cikgu Shafie banyak membantu dari segi vokal serta persiapan,” katanya ditemui pada sesi latihan menjelang konsert di Royal Studio semalam.
Disebabkan masalah kesihatan tersebut, dia juga terpaksa mengambil dua jenis ubat antibiotik sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu.
Demi memastikan dirinya dalam keadaan baik, dia mematuhi segala saranan dan nasihat doktor ketika ini.
“Apa yang saya kena buat sekarang adalah kena berjumpa doktor dan banyakkan rehat.
Agak risau apabila sakit begini ditambah pula konsert akan berlangsung kurang seminggu lagi namun saya tetap memandang positif dan menganggapnya sebagai satu bentuk dugaan.
“Setakat ini keadaan kesihatan semakin okey cuma mungkin perlukan masa untuk lega sepenuhnya. Saya harap menjelang konsert dapat pulih sekurang-kurangnya 80 peratus, nanti tambah dengan semangat penonton, jadilah 100 peratus,” katanya lagi.
Menerusi konsert anjuran LH Media Sdn. Bhd. bersama Laugh Out Loud Entertainment itu, Liza bakal mendendangkan lebih 30 lagu popular yang dipetik daripada tujuh album solo sepanjang 27 tahun bergelar penyanyi.
Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang merupakan konsert solo pertamanya turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui MyCreative Ventures Sdn. Bhd. – HIBGLAM