Hamil anak kedua, Intan Ladyana penat berganda

KANDUNGAN sudah mencecah enam bulan, pelakon Intan Ladyana mengakui mengalami alahan teruk kali ini berbanding kehamilan pertamanya.

Ujar pemilik nama penuh Intan Nurladyana Mohamat Yahaya itu, rasa penat juga berganda apatah lagi anak sulungnya masih dalam proses tumbesaran dan tidak boleh berjauhan daripadanya.

“Alahan memang teruk dan lebih sikit berbanding mengandung kali pertama dahulu, tapi semuanya dalam keadaan baik.

“Cuma hamil anak kedua ini, saya kepenatan sikit sebab selain alahan, kena jaga anak sulung yang memang tak boleh nak berenggang langsung.

“Sekarang ini tanggungjawab lebih besar dan keletihan berganda, anak tidur baru saya boleh tidur, sekali gus berbeza dengan kehamilan pertama dahulu yang memang saya dengan suami sahaja,” katanya kepada HibGlam pada tayangan perdana Filem Banglo Seksyen 12, semalam.

Memilih untuk merahsiakan jantina cahaya mata keduanya itu, isteri kepada Harris Alif mendedahkan mahu membuat pengumuman menerusi platform sosial media apabila tiba saatnya nanti.

“Jantina anak sudah tahu tetapi rahsia, biar saya dengan suami sahaja tahu, kita mahu buat kejutan.

“Jangan risau nanti kami akan umumkan jantina, mungkin melalui Instagram saya kelak.

“Apapun mohon doakan yang baik-baik untuk saya dan bayi kami, moga dipermudahkan urusan bersalin nanti,” kata Intan, 41.

Harris dan Intan berkahwin pada 5 Februari 2021 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Evie Khadeeja, 2.

Dalam perkembangan lain, Intan memberitahu dirinya tenang dan tidak berdepan rasa tertekan dengan pelancaran filem pertama arahannya berjudul Banglo Seksyen 12 yang bakal ditayangkan pada 25 Januari nanti.

Bagaimanapun, dia mengakui lebih bimbang menunggu penerimaan penonton terhadap naskhah yang diinspirasikan dari sebuah novel terkenal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok