ATAS desakan hidup, penyanyi yang terkenal dengan julukan ‘raja komen’, Erul Samah mendedahkan pernah menerima tawaran sebagai pelakon tambahan dengan kadar bayaran serendah RM80.
Tidak malu dengan kenyataan tersebut, Erul atau nama sebenarnya, Khairul Najmuddin Abu Samah, 33, berkata, sewaktu dunia dilanda pandemik Covid-19 dia terpaksa melakukan apa sahaja pekerjaan demi mendapatkan wang.
“Sebelum itu ada juga tawaran nyanyian, tetapi ketika pandemik Covid-19 dan negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya langsung tiada tawaran kerja.
Sudahlah saya yang menyara keluarga kerana bapa telah meninggal dunia. Nasib baik saya menjadi guru muzik secara dalam talian, tetapi pendapatan masih tidak mencukupi.
“Sebab itu saya terima apa sahaja tawaran kerja, termasuklah menjadi pelakon tambahan dengan bayaran RM80 sehari,” ujar Erul.
Selain penyanyi, Erul juga seorang pelakon, pencipta kandungan, pempengaruh media sosial.
Kredibiliti
Disebabkan terlalu banyak pekerjaan dilakukan dalam satu-satu masa menyebabkan kredibilitinya sebagai penyanyi dipersoalkan netizen.
“Saya sedar ramai yang mempersoalkan bakat saya, ada yang memandang rendah dan menggelarkan artis sendu. Tetapi saya tidak kisah, kerana orang luar tidak tahu saya terpaksa melakukan begitu banyak pekerjaan kerana saya tiada label.
Segala kos pembikinan lagu saya yang keluarkan sendiri. Suka atau tidak, saya hanya rebut apa sahaja peluang pekerjaan yang ada. Bukan ada orang yang mahu tolong saya bayar bil dan tanggung keluarga saya.
“Alhamdulillah, sejak saya dikenali sebagai ‘raja komen’, rezeki semakin banyak terutama sebagai pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial,” tuturnya.
Sungguhpun begitu, selepas 15 tahun berkecimpung dalam dunia seni, bekas peserta Akademi Fantasia musim kesembilan itu tidak berputus asa dalam kerjaya muzik.
Menyifatkan keputusan kali ini sebagai percaturan terakhir selepas single Legasi Cleopatra, Lebih Dari Kata dan Teristimewa, Erul kini muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Salahkah.
Lagu baharu
Di sebalik penghasilan Salahkah, lagu hasil ciptaan Erul bersama komposer Helen Yap itu terpaksa diperam sehingga lima tahun atas faktor kos.
“Lagu Salahkah dicipta sejak 2018 tetapi disebabkan saya perlu mencari duit sendiri untuk proses rakaman, jadi perancangan tergendala.
“Saya tahu bukan mudah untuk bersaing dalam industri muzik tetapi saya sanggup mengambil risiko dan berharap lagu Salahkah boleh bersaing dalam Anugerah Juara Lagu.
“Sambutan setakat ini memberangsangkan. Dalam tempoh dua minggu, video lagu saya sudah ditonton lebih 100,000 kali dalam Instagram. Insya-Allah selepas ini saya serius dalam kerjaya muzik dan akan muncul dengan lebih banyak lagu,” tutur Erul.
Ditebak tentang imej terbaharunya seperti yang terlihat kini, penampilan tersebut hanyalah untuk single Salahkah bagi memudahkan peminat membezakan dirinya sebagai penyanyi dan juga kariernya yang lain.
“Saya sengaja cipta imej berbeza untuk single ini supaya peminat boleh melupakan saya sebagai pelakon, ‘raja komen’ atau pencipta kandungan apabila mereka mendengarkan lagu ini,” jelas Erul. – HIBGLAM