KELUNAKAN suara pendakwah bebas dan suami kepada selebriti terkenal Neelofa, PU Riz membaca potongan Surah al-Anbiya ayat 89 hingga 90 beserta maksudnya meraih pujian netizen.
Menurut pemilik nama penuh Muhammad Haris Mohd Ismail, itu juga sebagai peringatan buat muslimin agar turut mengetahui maksud ayat dibaca.
“Membaca al-Quran satu cara yang boleh menenangkan jiwa bahkan menjadi penawar kepada setiap hati yang sedang mengalami kesedihan, keresahan mahupun kekecewaan.
Namun, itu bukanlah bermaksud seseorang hanya perlu membaca surah apabila dilanda keresahan, tetapi perlu dibaca sepanjang masa dan difahami.
“Disebabkan itu, ulama sering menyebut bahawa satu cara untuk memahami al-Quran adalah dengan membaca beserta maksudnya agar dapat memahami makna disampaikan,” ujarnya menerusi sebuah video dalam Instagram.
Tinjauan HibGlam menerusi ruangan komen video tersebut mendapati rata-rata netizen memuji suara merdu dan tajwid yang dikuasai bapa kepada dua cahaya mata itu.
Menghargai setiap komen, Haris menyifatkan kelebihan tersebut sebagai anugerah Allah SWT, selain mengakui belajar cara alunan bacaan al-Quran.
Terima kasih kepada semua yang memberikan komen. Semoga perkongsian saya itu memberi manfaat dan kebaikan buat kita semua.
“Diharapkan perkongsian ringkas sebegini membuka satu lagi lembaran baharu yang positif dalam diri kita semua di tahun baharu ini,” ujarnya panjang lebar
Dalam hantaran berbeza, Haris yang mesra disapa PU Riz itu turut berkongsi bacaan Surah an-Nasr ayat 1 hingga 3 yang turut sama meraih pujian orang ramai. – HIBGLAM