PELAKON Syatilla Melvin kini sedang dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam, Selangor akibat sakit belakang sehingga mengehadkan pergerakannya.
Menurut pemilik nama lengkap Siti Nur Syatilla Mirol Melvin, 32, pada mulanya dia hanya menyangkakan hanya sakit biasa berikutan rutin menyusukan anak, namun reda apabila disahkan menghidap masalah tulang rawan tergelincir atau slip disc.
“Benda nak jadi. Tiga hari tidak boleh gerakkan leher.
Ingat sakit urat biasa sebab menyusu anak memang akan sakit belakang.
“Rupa-rupanya hari ini dapat hadiah ‘slip disc’ 2024,” katanya menerusi Instagram.
Isteri kepada pelakon Shaheizy Sam itu turut memohon orang ramai mendoakan kesihatannya agar kembali pulih seperti sedia kala.
Semoga runtuh dosa-dosa aku. Amin. Doakan saya,” ujarnya lagi.
Menjawab pertanyaan netizen, Syatilla tidak menolak kemungkinan masalah itu berpunca daripada posisi yang salah ketika menyusukan anaknya.
“Mungkin salah posisi mengiring ketika menyusukan anak pada waktu malam,” jawabnya.
Menerusi hantaran video dalam Instagram, ibu kepada tiga anak itu dibantu oleh beberapa jururawat melakukan prosedur Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).
Dia turut berkongsi visual paparan ujian imbasan X-ray yang menunjukkan keadaan tulang belakangnya.
Dalam masa sama, rakan-rakan artis tidak ketinggalan menitipkan doa dalam ruangan komen agar Syatilla yang mesra disapa Tilla tu cepat sembuh.
Ala, semoga kembali ligat dalam siaran langsung TikTok yang buat saya mengekek (gelak) malam-malam. Cepat sembuh, sayang,” kata Hanis Zalikha.
“Allah. Semoga cepat sembuh Tilla. Fokus kepada pemulihan. Semuanya akan baik-baik sahaja insya-Allah,” ujar Zizie Ezzete yang juga kakak iparnya.
“Ya Allah, semoga dipermudahkan urusan penyembuhan. Amin,” tutur Nadia Brian. – HIBGLAM