BINTANG serba boleh, Nabila Huda memilih untuk menyimpan kemas identiti wanita yang ditempeleknya dalam platform X baru-baru ini meski ramai yang bertanya.
Katanya, paling utama empunya diri tahu siapa yang dimaksudkan selain sedar luahan terbuka itu ditujukan kepadanya.
Biarlah apa yang berlaku kekal menjadi tanda tanya. Yang penting dia tahu siapa dirinya,” ulasnya ringkas.
Bekas pengacara program Melodi itu turut mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung ciapan yang merujuk individu terbabit sebagai pencetus segala-gala masalah.
Pemilik nama lengkap Nabila Huda Suhaimi, 40, juga dilihat enggan memanjangkan lagi isu yang kini menjadi bualan netizen.
Sama ada kemarahannya ditujukan kepada rakan seperjuangan dalam industri seni atau orang terdekat, perkara tersebut dibiarkan berlegar tanpa jawapan.
“Minta maaf, saya tidak boleh komen atau mengulas lebih lanjut,” ujarnya tegas.
Kelmarin, pelakon Munafik itu meluahkan rasa terkilan dengan sikap seorang individu yang suka memporak-perandakan keadaan, namun bijak berlakon sebagai mangsa.
Malah, Nabila turut menyatakan hanya menunggu masa untuk mendedahkan individu yang mempunyai status itu apabila didakwa suka memerintah serta tiada adab. – HIBGLAM