NAMA bintang muda Mierul Aiman kian menyerlah apabila membintangi drama fenomena Projek: High Council tahun lalu.
Selepas berakhirnya drama bersiri terbabit, kelibat jejaka berusia 25 tahun itu masih rancak menghiasi televisyen dan platform over the top (OTT).
Malah, pemilik nama lengkap Mohammad Amirul Aiman Norazman itu membuktikan dirinya bukan popular semusim apabila menjadi pilihan jenama produk mahupun kerap diundang menghadiri acara berprestij.
Baginya, semua peluang yang diberikan sebagai penyuntik semangat untuk memberikan yang terbaik sebagai imbal balik atas sokongan ramai.
“Apabila terus mendapat laluan untuk meneroka pengalaman baharu baik dari segi lakonan atau cabang lain termasuk komersial, saya anggap ini semua sebagai bukti kepercayaan semua pihak.
“Disebabkan itu saya enggan ambil ringan seterusnya mahu bekerja keras kerana lakonan kini adalah kerjaya saya dan perlu dilaksanakan dengan sepenuh hati.
“Sebagai pengkarya, selain drama dan saluran penstriman, sudah tentu saya ingin melangkah pula ke layar perak yang saya tahu cabaran ke arah itu juga besar,” katanya.
Mengakui tidak salah berangan, Mierul juga menaruh harapan agar dapat membintangi filem biopik yang disifatkan sebagai peluang keemasan.
Luahnya, tema filem itu adalah antara naskhah paling sukar buat seorang pelakon apabila perlu mendalami karakter seseorang tokoh yang merupakan ikon atau idola ramai.
Meski perjalanan ke arah itu dirasakan agak jauh, selain ramai teman seangkatan yang turut mengejar peluang serupa, tidak sesekali juara Hero Remaja 2021 itu menyerah kalah.
Tiada apa yang mustahil kerana paling penting kena berusaha dan jangan mudah putus asa. Saya yakin waktunya akan tiba,” tambahnya yang sebelum ini pernah terbabit dalam beberapa filem pendek.
Bercerita lagi mengenai keinginan meneroka industri perfileman, pelakon yang dikenali dengan rahang seksi itu turut menyimpan angan-angan membawakan watak tokoh dalam filem biopik yang diidamkan.
“Secara peribadi saya lihat naskhah paling mencabar buat seorang pelakon adalah tema biopik seperti filem Bohemian Rhapsody, Ali, Ghandi dan sebagainya.
Karya yang mengupas realiti kehidupan seorang figura tersohor dalam sesuatu lapangan itu perlu didalami dan diperhalusi sekali gus memberikan tanggungjawab berat kepada penggalas watak utama.
“Apa pun buat masa ini saya teruskan perjuangan dengan mengasah lagi bakat selain mencabar diri mengambil tawaran mencuba pelbagai watak termasuk sebagai bodyguard dalam W: Two Worlds,” ujarnya.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.