SEKITAR lapan tahun lalu, pelakon jelita Zara Zya pernah hadir dengan sebuah single berjudul Tiada Dendam, hasil ciptaan komposer Lieynur Liey dan Fauzi Aisunam serta nukilan lirik oleh Iman Imran.
Lagu penuh emosi yang telah pun ditonton hampir 10 juta pelayar dalam laman penstriman video, YouTube itu dikira sebagai percubaan Zara untuk menembusi pasaran muzik tanah air sebagai penyanyi.
Namun, itulah juga single terakhir Zara sebelum wanita yang memiliki vokal lemak merdu itu tidak lagi keluar dengan lagu baharu.
Kini, dia sepertinya mendapat semangat baharu dalam dunia nyanyian.
Berselang waktu selama lapan tahun, Zara muncul semula mempertaruhkan buah tangan baharu berjudul Cinta Agung.
Menariknya, lagu hasil ciptaan komposer dan penulis lirik, Senna dan Daniesh Sufian itu turut menampilkan usahawan kosmetik terkenal, Datuk Alha Alfa sebagai rakan duet lagu tersebut.
Kata Zara atau nama lengkapnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin itu, dia sangat berbesar hati apabila dipelawa oleh lelaki itu untuk menyanyikan lagu tersebut, sekali gus dapat menunaikan impian peminatnya untuk melihat dia hadir dengan single terbaharu.
“Lapan tahun lalu saya pernah hadir dengan single berjudul Tiada Dendam. Apabila saya tidak lagi mengeluarkan lagu, ramai peminat tertanya-tanya.
“Jadi dengan hadirnya lagu Cinta Agung, saya anggap karya ini sebagai buah tangan dan hadiah daripada saya dan juga Alha untuk peminat,” kata wanita berusia 38 tahun itu.
Selepas bertahun-tahun tidak menjejakkan kaki ke studio rakaman, Zara mengakui berasa sangat gementar memandangkan kerjaya seninya bukanlah sebagai seorang penyanyi profesional.
Ujarnya, nyanyian hanya dijadikan sekadar hobi untuk suka-suka, jauh sekali memasang niat untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada kerana sedar akan kemampuan diri sendiri.
“Saya bukanlah aktif dalam muzik dan hanya menyanyi suka-suka sahaja. Saya memang tidak berani untuk menyanyi di atas pentas sebab berasa sangat gementar.
“Tujuan saya keluarkan single pun bukan untuk bergelar sebagai penyanyi, buat persembahan pentas di sana sini. Memang tidak.
“Sebab jiwa dan minat utama saya masih lagi dalam bidang lakonan,” jelasnya.
Zara mengakui, pada awalnya dia tidak begitu yakin untuk merakamkan lagu kerana beranggapan, suaranya kedengaran pelik ketika menyanyi.
Bagaimanapun, kekuatan dan keyakinan itu muncul selepas dia mendapat kata-kata semangat dan dorongan daripada keluarga, bahkan juga rakan artis.
“Bila dengar suara sendiri, awalnya saya rasa pelik dan kurang yakin. Tapi bila ada galakan yang kata saya boleh menyanyi, barulah keyakinan itu timbul.
“Rakan baik saya iaitu penyanyi, Shila Amzah juga beri galakan dan suruh saya lakukan (menyanyi) apa yang saya minat.
“Jadi daripada situlah timbul kekuatan saya untuk merakamkan single Cinta Agung,” ujarnya menggulung perbualan. – HIBGLAM