BAKAL menginjak usia 44 tahun bulan depan, penyampai radio Fara Fauzana menitiskan air mata apabila diajukan soalan berkenaan jodoh ketika sedang bertugas di konti radio Hot FM.
Fara atau nama sebenarnya, Farah Fauzana Mohd. Fadzil tidak dapat menahan sebak di dada apabila berborak dengan rakan sekonti tentang pilihan sama ada cinta atau duit.
Selepas menitiskan air mata, rakan sejawat Fara atau mesra disapa Fafau iaitu AG Azmeer bertanyakan, ada sesiapa yang ingin membeli cinta daripadanya namun wanita itu tegas dengan pendiriannya memilih cinta berbanding wang ringgit.
If you ask me (kalau anda tanya saya), saya takkan pilih duit, saya akan pilih cinta,” katanya seraya mengesat tangisan yang membasahi pipinya.
Video tersebut dikongsikan menerusi laman rasmi Hot FM dalam aplikasi X yang mendapat pelbagai respons daripada pengguna laman sosial tersebut.
“Duit boleh dicari tapi cinta yang ikhlas susah nak dapat,” tulis seorang peminat.
“Dari satu sudut rasa macam nak putus asa walau satu sudut lagi tahu yang berputus asa itu seolah-olah tak yakin pada Allah. Tapi memang betul pun, kita tak boleh berpura-pura tentang apa yang kita rasa.
Moga kita jumpa jodoh yang terbaik Fafau,” tulis seorang pengguna X yang lain.
Pada Julai 2016, Fara mengumumkan bakal menamatkan zaman bujangnya dengan seorang lelaki bernama Mohamed Hafiz Badiuzzaman.
Bagaimanapun, berikutan masalah peribadi, perkahwinan mereka terpaksa dibatalkan pada saat akhir. – HIBGLAM