PERNAH dipentaskan menerusi teater muzikal sekitar 16 tahun lalu, kisah hidup Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bakal diangkat pula di layar perak dengan diberikan judul P. Ramlee – Jeritan Batinku.
Filem biopik sentuhan aktor Adlin Aman Ramlie selaku penulis skrip dan pengarah tersebut menyingkap perjalanan hidup seniman ulung negara sejak berkecimpung dalam arena hiburan hingga melakar kegemilangan.
Pengarah Urusan Inkhouse Pictures Sdn Bhd, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata, situasi pasaran filem yang amat progresif mendorong pihaknya merealisasikan penerbitan naskhah istimewa itu bermula pada 2024.
“Projek menghasilkan filem biopik ini sudah lama dibincangkan dan ini adalah masa yang sangat tepat kerana pasaran filem sekarang semakin bagus.
Tenaga kerja yang terdedah dengan teknologi penstriman ditambah minat ditunjukkan pelabur berpotensi membuatkan saya berani menyahut cabaran untuk menghasilkan P. Ramlee – Jeritan Batinku.
“Malah kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi berpengalaman yang mempunyai minat sama terhadap legenda dihormati ini,” katanya.
Kolaborasi dengan dua syarikat Singapura, Dream Forest Stories dan Silver Wolf International, selain Soho Moon Pictures (Ireland) tersebut menjadi satu pencapaian peribadi terhadap pembikinan karya bersandarkan kisah benar seniman Nusantara itu di pentas antarabangsa.
Menurutnya lagi, pihaknya yakin kerjasama strategik sedemikian mampu merealisasikan misi untuk menghasilkan kandungan bertaraf global.
Lebih istimewa, fokus pengisian bakal menyelongkar aspek tersembunyi kehidupan Seniman Agung terbabit termasuk, menyelami peribadi serta kejayaan diraih.
Genap lima dekad selepas pemergiannya, beliau kekal sebagai ikon dihormati kerana mempunyai bakat tersendiri sehingga mampu meninggalkan impak dalam setiap naskhah sentuhannya.
Diangkat sebagai ikon budaya, ketika hayatnya beliau merupakan penghibur serba boleh yang mampu menawan hati penonton dengan kehebatan lakonan, pengarahan, nyanyian dan penulisan lagu.
“Tentu sahaja filem biopik ini nanti bakal mendedahkan sisi figura tersohor yang mungkin belum pernah dicungkil lagi sebelum ini,” ujarnya.
Sementara itu, Adlin yang dipertanggungjawabkan sebagai sutradara mendedahkan melaksanakan kajian terperinci bagi memastikan skrip dihasilkan lengkap dan tepat.
Katanya, peluang mengarah versi muzikal, menelaah bahan bacaan berkaitan serta secara perinadi mendekati kelompok mengenali P. Ramlee membolehkannya mendasari skrip dengan lebih mendalam.
Mengenali komuniti yang begitu meminati P. Ramlee memberi banyak kelebihan kerana dari situ saya dapat lebih tahu mengenai personaliti, kegemarannya dan apa saja berkaitan dirinya.
“Semakin banyak informasi, saya dapat merasakan keunikan insan istimewa bernama Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh ini,” tambah anak Allahyarham A.R Tompel yang melupakan sahabat baik P. Ramlee.
Terdahulu, teater kisah P. Ramlee berjudul P. Ramlee – The Musical Hidup, Cinta dan Inspirasi pernah diarahkan bersama Adlin dan Zahim Albakri pada 2007 dan 2014. – HIBGLAM