Hebat! Rebel Moon karya wajib tonton

SEDIKIT saranan tahun baharu buat para peminat dunia sinema, persetankan ulasan daripada mana-mana laman sesawang sebelum menikmati sebarang naskhah. 

Itu antara pesanan yang boleh penulis suarakan buat khalayak yang belum berkesempatan menonton buah tangan terbaharu Zack Snyder berjudul Rebel Moon. 

Biarpun banyak pengkritik atau laman kritikan filem memberi rating buruk tentang filem tersebut, penulis ingin tegaskan di sini, tidak usah percaya kerana kita yang tonton, justeru sama ada filem itu bagus atau sebalik datang dari hati kita sendiri. 

Rebel Moon merupakan sebuah karya yang luar biasa daripada segi kesan visual, lakon layar, sinematografi dan kualiti aksi. Memang ‘top-tier’ dan sampai sekarang masih berbekas impaknya usai tontonan minggu lalu. 

WATAK Kora ditangan Sofia Boutella disifatkan sungguh berbekas dan meninggalkan impak.

Tiada langsung masalah dari segi plot atau penceritaan seperti digembar-gemburkan sebilangan pencinta wayang. 

Snyder sendiri dalam temu bual terdahulu memberitahu, Rebel Moon didokumentasikan dalam bentuk filem selepas mendapat ilham daripada karya Akira Kurosawa, filem-filem Star Wars dan majalah-majalah Heavy Metal. 

Berbekas

Beliau mula berbicara ingin merealisasikan Rebel Moon sedari 1997. Jadi, jika sebilangan penonton tidak bertemu ‘tujuan’ filem berkenaan, barangkali anda sendiri adalah masalah yang masih tersepit dengan ketaksuban dunia Star Wars atau filem-filem Snyder sebelum ini. 

Dari segi terjemahan karakter, mungkin ada sedikit kekurangan, namun tidak langsung merencatkan keseluruhan cerita.

Watak bekas askar Imperium bernama Kora yang dijayakan Sofia Boutella sangat cocok dijayakan. 

Permainan emosi yang terpamer daripada wajahnya sahaja cukup berbekas dan dipadankan dengan aksi, seni pertarungan dan semangat heroik yang cukup senergi. 

Kora menjadi alasan penulis berjaya menghabiskan durasi 134 minit dengan senyuman terukir di bibir dan kepuasan sinematik tidak berbelah bahagia meskipun hanya menerusi skrin dikuasakan platform Netflix, bukan di panggung wayang lebar. 

Karakter lain termasuk villain Admiral Noble lakonan Ed Skrein juga langsung tidak mengecewakan. Dia villain (watak jahat) sempurna untuk sesebuah jenama baharu yang diperkenalkan kepada dunia. 

Watak lain seperti Gunnar, Nemesis, General Titus dan Tarak juga menjalankan tugas dengan baik dan  sesempurna kejadian. 

Kerjasama atau sinergi antara karakter tidaklah seburuk seperti yang dikonatasikan sebilangan pengkritik filem memandangkan akan ada sambungan sekuel kedua tahun hadapan berjudul Rebel Moon: Part 2 – The Scargiver. 

Karakter akan dikembangkan, perluasan galaksi akan terus dibentangkan menjelang sekuelnya kelak.

Antara babak menarik alien-like dalam Rebel Moon yang datang dari minda sutradara hebat, Zack Snyder.

Rebel Moon secara keseluruhannya adalah campuran idealogi antara Star Wars, Guardians of the Galaxy dengan magis Snyder penuh berbekas. 

Disney menolak idea Snyder dan sekali gus membuatkan Rebel Moon bertabak dalam platform Netflix. Itu adalah kerugian Disney sendiri kerana Rebel Moon memang hebat. Selayaknya wajib tonton!

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok