Jenazah Ibnor Riza selamat disemadikan

JENAZAH penyanyi terkenal era 1980-an, Allahyarham Ibnor Riza selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kesau, Tengkek, Negeri Sembilan pukul 10.40 malam tadi.

Lebih 200 orang hadir mengiringi jenazah penyanyi itu ke persemadian terakhirnya termasuk rakan artis iaitu Norlia Ghani, Datuk Hattan, Datuk S Atan, Ameng Spring dan Mat Over.

Terdahulu, jenazah tiba di perkarangan Masjid Tunku Alif Hussein Al-Amin Kariah Kampung Tengkek kira-kira pukul 8.30 malam.

Ibnor atau nama penuhnya, Ibnor Riza Ibrahim, 62, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Cheras pada pukul 3.30 petang tadi.

JENAZAH di bawa ke tanah perkuburan selepas disolatkan di Masjid Tunku Alif Hussein Al-Amin Kariah Kampung Tengkek, Negeri Sembilan.

Pada 2 Disember lalu, Allahyarham menjalani pembedahan di HCTM bagi membuang air pada bahagian kanan kepala susulan sel kanser limfoma dihidapinya sudah merebak ke bahagian otak.

Ibnor bagaimanapun tidak sedarkan diri selepas pembedahan dijalankan.

Kemudian, arwah sekali lagi menjalani pembedahan susulan terdapat pendarahan pada bahagian kepalanya pada Rabu lalu.

Sebagai rekod, kerjaya seni Allahyarham bermula pada 1984 dengan menyertai pertandingan Bintang RTM.

Allahyarham juga merupakan kakitangan kerajaan namun bersara awal kerana memilih menumpukan perhatian terhadap kerjaya seninya pada 1993.

Antara lagu yang terkenal dendangan Allahyarham adalah Mimpi Tak Sudah, Meneka Dalam Kesamaran, Berdiri Seorang Perindu, Suka Terluka Merindu Pula dan banyak lagi.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok