Tindakan pelakon yang sebelum ini dikenali dengan imej ‘alim’, Raja Atiq mendedahkan aurat dengan menayang badannya ketika bersantai di tepi pantai, mengundang rasa kecewa segelintir peminatnya.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik Atiq, 23, dalam Instagram miliknya, pelakon itu dilihat mengenakan seluar pendek dan berkemeja dengan corak garis biru putih, namun sengaja menayang bahagian perutnya yang berotot.
“Gym off (berehat bermain gim), tahu-tahu ke pantai lagi,” tulisnya.
Perkongsian terbuka pelakon yang pernah membintangi drama Nur itu sekali gus memancing perhatian pengikutnya yang rata-rata melahirkan rasa kecewa dan terkejut dengan perubahan sikap dan penampilannya yang semakin terbuka.
Lebih membuatkan peminat kecewa apabila Atiq pernah mendapatkan pendidikan di salah sebuah sekolah tahfiz di Pantai Timur ketika zaman persekolahannya.
“Dulu bukan main acah-acah jaga aurat. Sekarang elok ‘belanja’ (tayang) orang tengok,” tegur seorang peminatnya.
“Wah! Bangga tunjuk aurat. Dah macam orang Barat. Bagus,” perli seorang lagi pengikutnya.
Walaupun dikecam, namun masih ada segelintir pengikutnya yang mengambil pendekatan menegur dengan cara lembut supaya pelakon itu berubah menjadi yang lebih baik.
“Lutut dan pusat aurat adik. Saya sudah terlepas nasihat. Nak berjaya dunia akhirat, buat apa yang Allah SWT suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang,” nasihat seorang peminatnya.
“Semoga Atiq sentiasa dilindungi Allah SWT,” doa seorang netizen.
Selain pernah mendapatkan pendidikan di salah sebuah sekolah tahfiz, difahamkan Atiq juga pernah menjadi johan Da’i muda al-Quran ketika berusia 14 tahun.
Sewaktu ditemu bual Kosmo! sekitar Mac lalu, Atiq menepis dakwaan mengatakan dirinya sengaja mencari perhatian atau publisiti kerana menayang bentuk badannya dalam media sosial, sebaliknya hanya mengikut trend yang dilakukan oleh lelaki lain yang bersenam di gimnasium.
“Saya tidak mencari publisiti. Saya hanya ikut trend dan akui perkara itu salah,” jelasnya. – HIBGLAM