KETUA Juri All Stars Gegar Vaganza (GV10), Datuk Ramli MS mengakui sudah nampak potensi juara musim kali ini ketika pusingan pertama malam kemuncak pertandingan.
Ramli atau lebih mesra disapa Tok Ram menyifatkan persembahan solo daripada Jaclyn ketika menyanyikan lagu When You Believe nyanyian asal, Mariah Carey dan Whitnew Houston memberi kelebihan ketara markahnya berbanding peserta lain.
“Secara peribadinya, orang lain tidak menonjol, cuma dia (Jaclyn) sahaja yang sangat stabil pada pusingan terawal.
“Kalau tengok sesi latih individu, kelapan-lapan mempersembahkan menonjolkan potensi serta tahap yang hampir sama.
“Tetapi semasa persembahan siaran langsung mereka ternyata agak kurang menonjol berbanding Jac,” ujarnya lagi.
Tambah Ramli, pusingan solo juga menjadi penentu juara apabila melibatkan pembahagian markah paling besar iaitu sebanyak 80 peratus.
“Bagi persembahan solo, pemarkahan adalah 80 peratus manakala pusingan duet dan ‘battle’ pula hanya 20 peratus.
“Saya jangka persembahan solo yang peserta pilih lagu sendiri mendorong mereka menyanyi secara bermati-matian.
“Jadi semasa persembahan pusingan pertama itu saya sudah boleh tahu siapa yang akan bergelar juara,” katanya pada sidang media GV10, semalam.
Ramli yang telah menjurikan GV sejak musim pertama menjelakan, majoriti persembahan finalis kurang memuaskan berbanding sewaktu sesi latihan kecuali Jaclyn menepati kriteria juara yang diperlukan dalam GV10.
Semalam, Jaclyn menggondol gelaran juara GV10 sekali gus menundukkan tujuh lagi peserta lain di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Selain Ramli, finalis diadli dua lagu juri tetap iaitu Hetty Kos Endang dan Datuk Syafinaz Selamat serta Ratu Rock Negara, Ella selaku juri jemputan. – HIBGLAM