Saman RM2.5 juta selesai, Siti Nordiana, lima sekawan bermaafan

KES saman fitnah RM2.5 juta yang dikemukakan penyanyi Siti Nordiana Alias terhadap lima sekawan sejak dua tahun lalu berakhir secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Siti Nordiana atau Nana, 39, selaku plaintif dan lima sekawan itu bersetuju untuk menyelesaikan kes itu tanpa melalui perbicaraan yang lebih panjang.

Lima sekawan selaku defendan terdiri daripada penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 38, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.

Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Semasa prosiding, peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik di luar mahkamah dan bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

Dalam prosiding itu, peguam Azlan Abdul Razak mewakili Lan Solo, Nur Sheila dan Syura. Peguam Nur Izzaida Zaman mewakili Razidah manakala peguam Fithril Hakim Ab. Jalil mewakili Sam Musyadzahar.

Selepas semua pihak bersetuju, Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan kemudian merekodkan penghakiman persetujuan selain turut melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Penghakiman persetujuan bermaksud kes diselesaikan luar mahkamah selepas semua pihak bersetuju dengan terma penyelesaian yang kemudian dibawa di hadapan hakim dan mahkamah cuma merekodkan persetujuan itu.

Dalam pada itu, antara pernyataan permohonan maaf kedua-dua pihak itu ialah “Permohonan maaf ini, adalah dibuat berdasarkan perhubungan persahabatan antara kami sebelum ini.

“Dengan ini kami berharap agar persengketaan dan salah faham yang telah berlaku sebelum ini antara kami terhenti di sini dan biarlah menjadi sejarah pahit yang tidak akan berulang,” kata pernyataan itu.

Dalam perbicaraan sebelum ini antara saksi-saksi plaintif yang telah dipanggil memberi keterangan ialah Siti Nordiana sendiri, pengurusnya, Mohamad Al Anas Osman, wartawan kanan hiburan, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Selain itu ialah pengarah sebuah syarikat penjenamaan A.Geetharani dan peminat penyanyi itu Nur Afifah Balqis Mohd. Zulqarnaen.

Pada Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan dua daripada lima individu yang disaman penyanyi Siti Nordiana untuk memindahkan prosiding perbicaraan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Dua individu yang membuat permohonan itu ialah Sam Musyadzafar dan Razidah.

Kedua-dua pemohon memfailkan permohonan itu pada 16 Disember 2021 di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Siti Nordiana sebagai responden.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok