BAND ikonik yang ditunggu-tunggu, Coldplay sedia menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil apabila memperuntukkan beberapa jam mengadakan sesi pemeriksaan teknikal dan bunyi, malam tadi.
Difahamkan, mereka yang ‘terbang’ dari Perth, Australia mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang dan dibawa terus ke stadium sebagai persediaan konsert pada malam ini.
Malah dalam laman sosial, beberapa pemilik akaun yang berada di lokasi konsert Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) berkongsi rakaman suara vokalisnya Chris Martin membawakan beberapa lagu termasuk Paradise.
Sehingga pagi ini beberapa video sesi percubaan suara dan teknikal itu tular terutama dalam platform X dengan tanda pagar #COLDPLAYinKL.
Sebelum itu, peminat yang kebetulan berada di lapangan terbang turut memuat naik naik status teruja terserempak band popular asal United Kingdom bersama rombongannya walaupun hanya melihat dari jauh.
Pada masa sama, pemain gitar bass, Guy Berryman juga memberi bayangan sudah tiba di negara ini tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Selain Martin dan Berryman, kumpulan yang mencetuskan polemik sebaik pengumuman Malaysia antara destinasi siri jelajah mereka turut ditunjangi Johny Buckland dan Will Champion.
Dijangkakan, seramai 85,000 penonton bakal memenuhi stadium malam ini, namun daripada tinjauan didapati sudah ramai peminat berkampung di lokasi tersebut seawal pagi tadi biarpun kaunter penebusan hanya dibuka tengah hari.
Beberapa hari lalu, penganjur iaitu Live Nation Malaysia menggariskan peringatan tidak membenarkan peminat menunggu artis luar dan dalam lokasi konsert atau bermalam di persekitaran Stadium Nasional Bukit Jalil.
Penganjur turut menyenaraikan barangan dilarang dibawa masuk ke dalam stadium sepanjang konsert mega itu berlangsung. – HIBGLAM