Konsert kemunculan semula, Estranged mahu undang Fazura

LAGU Hancur Aku dendangan Enstraged bersama selebriti terkenal Fazura pernah menjadi siulan ramai pada 2015 sehingga tersenarai dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-31.

Demi membangkitkan nostalgia pencinta lagu itu, Ensranged berhasrat mengundang Fazura ke konsert Apa Khabar Teman? yang akan berlangsung pada 3 Februari 2024 di Persada, Johor Bahru.

Menurut pemain gitar kumpulan itu Din Harmatov, menerusi konsert berkenaan Estranged akan menjemput beberapa penyanyi yang terlibat dalam kembara muzik band itu.

“Memang kami akan menjemput beberapa penyanyi bagi memeriahkan konsert ini.

“Kalau Fazura dapat sertai pasti lebih meriah kerana dia juga ada dalam perjalanan karier Estranged. Tapi, buat masa ini kami belum dapat mengesahkannya.

“Pihak kami akan mengumumkan senarai nama penyanyi jemputan secara berperingkat,” kata Din atau Solihuddin Hormat.

Konsert Apa Khabar Teman? merupakan kemunculan semula kumpulan Estranged yang dianggotai Rich Gimbang selaku vokalis, Din (gitar) dan Hanafi Hadi (gitar) selepas tujuh tahun tidak aktif di semenanjung.

Sebaliknya selama tujuh tahun, kumpulan yang pernah bergelar pemenang Anugerah Juara Lagu ke-22 itu hanya aktif di Sabah dan Sarawak.

“Rasanya sudah tiba masa untuk kami aktif dan mengadakan konsert besar di semenanjung. Jika mendapat sambutan, kami akan meneruskan konsert ini di beberapa lokasi lagi sekitar semenanjung, Sabah dan Sarawak,” ujar Rich.

Tiket-tiket berharga RM99 sehingga RM300 akan mula dijual pada 27 November ini menerusi laman sesawang www.ticket2u.com. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok