‘Wahab, Wahab’ jadi usikan Mas Idayu

“WAHAB, Wahab, Wahab kat rumah ye”.

Demikian usikan juri Famili Duo musim tiga (FD3), Mas Idayu sebelum mengulas persembahan
duo adik-beradik, Shila dan Syahir Amzah pada konsert minggu keenam program realiti pertandingan itu, malam ini.

Pasangan tersebut membawakan lagu ciptaan dan nyanyian asal Allahyarham M.Shariff berjudul Keindahan Pantai yang kini tular di aplikasi TikTok.

Dendangan itu cukup melekat di telinga khalayak selepas dijadikan troll dalam laman sosial apabila menyebut seakan-akan nama individu dalam kontroversi perbualan ‘lucah’ yang hangat diperkatakan sejak kelmarin.

Menyedari juri yang lantang memberikan komen itu mengaitkan lagu terbabit dengan kisah sensasi semasa, Studio Ntv7 Glenmarie bergema dengan tawa penonton.

Selain Keindahan Pantai, Shila dan Syahir yang turut membawakan lagu Tak Mengapa  oleh Datuk A. Rahman Hassan mengikut tema Retro minggu ini meraih pujian kedua-dua juri termasuk Ajai.

Adik-beradik yang sebelum ini kerap menerima kritikan terutama vokal Syahir sehingga berada di tangga tercorot minggu lalu dipuji sangat menyerlah malam ini.

Mereka mendapat markah penuh 10 mata daripada Mas Idayu dan Ajai.

Peserta duo lain pada edisi kali ini ialah pasangan sepupu, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran, selain suami isteri iaitu Tom dan Fuad Rahman; manakala duo adik beradik lain adalah Ryan Bakery dan Adam serta Adira Suhaimi bersama Emma. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok