Setahun ‘bergelut’, Sharnaaz Ahmad dah insaf!

PELAKON Sharnaaz Ahmad pernah mengakui representasi menggugurkan pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan yang belum diputuskan sejak setahun lalu, sebenarnya mengganggu urusan rasmi kariernya.

Sharnaaz ketika itu berkata, biarpun tidak mengganggu tugasan harian dan kerjaya seninya, tetapi kes berkenaan tetap menjejaskan kelancaran urusan perniagaan, perbankan dan endorsemen dengan syarikat lain.

Memang sedikit sebanyak mengekang kelancaran urusan rasmi saya yang tetap bersangkut paut dengan hal kerja. Agak ralat tapi nak buat macam mana, saya kena ikut undang-undang.

“Dah setahun lebih (tunggu). Ada sebab saya perjuangkan yang saya tak bersalah. Tapi tak mengapa saya okey saja,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Oktober lalu.

Kelmarin (Jumaat), pelakon berusia 38 tahun itu ‘sujud syukur’ dan menarik nafas lega.

Selepas hampir setahun turun naik mahkamah, dia akhirnya dilepaskan dan dibebaskan atas semua pertuduhan yang dihadapi.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak berhubung representasi yang dihantar selebriti itu.

Setelah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan mahkamah berpuas hati dan dengan ini memerintahkan supaya pertuduhan terhadap Orang Kena Saman (OKS) (Sharnaaz) dilepas dan dibebaskan (DNA), manakala wang jaminan dikembalikan,” kata Majistret Atiqah.

Difahamkan pengawal keselamatan itu merupakan penghuni kondominium berkenaan tetapi bekerja di kediaman lain.

Mengimbas kembali pertuduhan yang disabitkan ke atas Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir, bapa tunggal kepada seorang cahaya mata itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas, sekitar pukul 8.30 malam pada 16 Jun 2022.

Selepas dibebaskan mahkamah atas pertuduhan tersebut, pelakon filem Polis Evo 3 itu tidak dapat menyembunyikan rasa Syukur, selain gembira dengan keputusan yang diterima.

Alhamdulilah walaupun mengambil masa panjang sedikit tetapi saya bersyukur, lega dan akhirnya saya seorang yang bebas,” katanya.

Sedar khilaf

Sedar atas khilaf yang dilakukan, Sharnaaz menerusi sebuah video yang dikongsikan dalam Instagram turut berjanji untuk tidak akan mencetuskan sebarang masalah selepas ini.

“Assalamualaikum saya di sini ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengikuti kes saya dengan rapat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada dua orang kuat iaitu peguam saya yang menyokong saya sejak tahun lepas.

Alhamdulillah hari Jumaat, kes saya sudah selesai. Insya-Allah saya tidak buat hal lagi,” katanya sambil ditemani peguamnya, Datuk Wan Azmir Wan Majid.

‘Kemenangan’ memihak Sharnaaz turut memberikan kelegaan bukan sahaja dalam kalangan peminat, bahkan juga rakan-rakan selebriti.

Alhamdulillah, tahniah Mamu (panggilannya). Bagi ‘petak’ badan balik!” ujar pelakon Norman Hakim.

“Alhamdulillah, jangan nakal-nakal lagi,” kata pelakon Didie Alias mengusiknya.

Alhamduillah, semuanya dipermudahkan,” kata pengacara, Awal Ashaari.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok