SELEPAS mendapat sambutan luar biasa di Zepp Kuala Lumpur, Armada Band terus mengekalkan momentumnya menerusi kejayaan Konsert Armada Janji Bahagia di Sabah baru-baru ini.
Mengadakan dua konsert besar di Malaysia dalam tempoh kurang seminggu, membuktikan band popular asal Indonesia itu kekal ampuh setelah hampir dua dekad menguasai industri muzik nusantaran.
Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menjadi saksi Armada Band berjaya membuatkan lebih 4,000 penonton galau sepanjang dua jam beraksi di premis berprestij itu.
Diacarakan penyampai Era FM Sabah, Adnan dan Mijul, peminat yang sejak awal menantikan kehadiran Armada Band bagaikan histeria tatkala vokalisnya, Rizal Adi, Andika Maihendra atau Mai (gitar) dan Meri Yand atau Andit (dram) membuka tirai konsert sekitar pukul 8 malam menerusi lagu Mau Dibawa Kemana.
Terdahulu, konsert sulung Armada Band di Sabah itu turut diserikan dengan persembahan penyanyi asal Negeri di Bawah Bayu, Elica Paujin serta Daniesh Suffian.
Ternyata peminat Armada Band benar-benar terhibur apabila turut menyanyi bersama ketika persembahan diteruskan dengan lagu Cinta Itu Buta, Apa Kabar Sayang dan Buka Hatimu.
Pertama kali menjejakkan kaki ke negeri Sabah, Rizal terharu melihat sambutan peminat yang hadir pada malam itu.
Menurutnya, sokongan yang ditunjukkan peminat cukup bermakna bahkan menjadi pemangkin semangat mereka untuk terus berkarya dalam industri muzik.
Meneruskan momentum konsert, Armada Band mengajak penonton mengimbau kembali perjalanan karier mereka melalui lagu Pemilik Hati, Awas Jatuh Cinta dan Hargai Aku.
SICC bergema dengan sorakan tatkala lagu Penantian dialunkan Rizal. Rata-rata peminat turut sama menyanyikan lagu itu dengan sepenuh hati.
Ketika mahu menyampaikan lagu Buah Hati, Rizal kelihatan sebak apabila berbicara tentang penderitaan rakyat Palestin khususnya kanak-kanak yang menjadi mangsa kekejaman tentera Zionis.
Turut kelihatan penonton mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda rasa peduli mereka terhadap umat Islam yang sedang melalui pergolakan di Gaza.
“Kita boleh lihat ramai kanak-kanak Palestin yang terkorban dalam peperangan kali ini.
“Semoga Allah SWT melindungi anak-anak yang berada di Palestin,” katanya sebak.
Enggan terus larut dalam emosi, vokalis berusia 37 tahun mengembalikan keceriaan penonton dengan mendendangkan lagu Memori dan Bebaskan Diriku.
Sinonim dengan lagu bertemakan hubungan percintaan, suasana konsert semakin memuncak apabila lagu Asal Kau Bahagia berkumandang.
Rizal mendedahkan single yang banyak menaikkan nama Armada Band itu mengisahkan tentang orang yang ingin memulakan fasa baharu dalam hidup selepas cinta yang dibina putus di tengah jalan.
Sempat menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada penonton, kumpulan asal seberang itu menutup tirai konsert dengan lagu Pulang Malu Tak Pulang Rindu serta Pergi Pagi Pulang Pagi.
Sementara itu, ditanya mengenai ketiadaan lagu Kekasih Yang Tak Dianggap yang melonjakkan nama mereka ketika dikenali sebagai Kertas Band, Rizal berkata, karya itu tidak disenaraikan kerana konsert di Sabah membawa nama Armada Band.
“Kita percaya peminat di Sabah hanya tahu satu lagu dari Kertas Band iaitu Kekasih Yang Tak Dianggap.
“Disebabkan tema konsert ini adalah Armada Band, jadi kami memutuskan untuk tidak menyanyikan lagu itu,” katanya mendendangkan kira-kira16 lagu-lagu hit Armada Band dalam konsert itu. – HIBGLAM