Gemuk? ‘My body, my choice’

AWAL Januari lalu, pelakon muda Bella Dowanna mendedahkan dirinya pernah menjadi bahan jenaka lucah atau sindiran fizikal (body shaming) berbaur seksual oleh kru penggambaran.

Semuanya gara-gara kerana bentuk badan pelakon berusia 20 tahun itu kelihatan lebih berisi berbanding pelakon lain.

Bukan itu sahaja, Bella atau nama lengkapnya Qystinna Istajibilla Dowanna Halim berkata, bentuk fizikalnya yang berisi sudah kerap dijadikan bahan lawak sejak dahulu, bukan sahaja daripada netizen, bahkan juga rakan artis.

Sehingga ke hari ini, isu sama tentang bentuk badannya itu masih menjadi perbualan sehinggakan Bella sudah lali dan malas untuk mengambil serius tentang perkara tersebut.

“Nak cakap tentang ‘body shaming’, sampai satu tahap saya sudah lali dan malas untuk ambil tahu. Sebab itu bila ada sesiapa tanya tentang perkara tersebut, saya sebenarnya malas nak jawab.

“Sebab jawapan saya tetap sama,” kata pelakon drama Budak Tebing itu.Tambah pelakon yang memulakan kerjaya seni seawal usia sembilan tahun itu lagi, masalah tentang bentuk badannya yang kerap kali ‘diusik’, bukanlah suatu hal besar yang perlu dibincangkan, kerana dia sendiri tidak kisah dengan bentuk badan sebegitu.

Bahkan, bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Hartamas, Kuala Lumpur itu turut mengakui tidak lagi berasa tertekan, apabila kerap diejek hanya kerana memiliki badan berisi, berbanding pelakon remaja lain atau seusianya.

“Saya tidak kisah pun bila orang bercakap tentang bentuk badan saya. Sebab ini adalah pilihan saya. My body, my choice (badan saya, pilihan saya).

“Bila dah ramai orang cakap saya gemuk, nanti saya kuruskanlah badan,” selorohnya sambil ketawa.

Hakikatnya, Bella tidak perlu terburu-buru mahu mendapatkan bentuk badan langsing, hanya kerana cakap-cakap orang lain, kerana dia hanya akan berbuat demikian untuk diri sendiri.

“Kalau ada usaha untuk kecilkan badan, saya akan lakukannya untuk diri sendiri. Saya tidak akan buat disebabkan orang lain.

“Lagi pun saya tidak rasa tertekan. Kalau kurus, tetapi tidak berasa gembira, buat apa?

“Jadi apa-apa pun, ini adalah pilihan saya sendiri,” jelas Bella yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan seni kulinari di sebuah kolej swasta.

Bella memilih jurusan seni kulinari kerana amat meminati bidang masakan.

“Saya kini melanjutkan pengajian dalam bidang seni kulinari. Saya memilih jurusan tersebut kerana minat dan sukakan bidang masakan.

“Untuk perkembangan kerjaya pula, saya akan berehat sekurang-kurangnya selama dua bulan daripada menjalani sebarang penggambaran kerana menjalani pembedahan lutut.

“Kini, keadaan saya semakin pulih. Terima kasih kerana mendoakan saya,” jelasnya menutup kata.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok