SELEPAS beberapa episod berbalah mengenai konflik di Palestin dan pejuang Hamas, pelakon Azhar Sulaiman mengambil pendekatan untuk berdamai dan tidak memanjangkan sengketa dengan aktor, Sharnaaz Ahmad.
Menurut Azhar, pendekatan untuk berdamai itu diambil kerana sudah sangat memahami keperibadian Sharnaaz yang dianggap sebagai rakan baiknya dalam industri seni.
“Saya dan Sharnaaz okey dan faham sangat dengan perangai dia.
Tiada isu besar pun,” katanya dalam satu hantaran Instagram hari ini yang turut memuat beberapa foto bersama bintang filem Jebat itu.
Tambahnya yang popular menerusi filem Jimi Asmara itu, selain sudah ‘masak’ keperibadian Sharnaaz, dia juga enggan bermusuh dengan mana-mana anak seni yang terlibat dalam industri sama.
Industri ini kecil dan saya tidak mahu bermusuh dengan mana-mana pihak.
“Rugi sekiranya rosakkan persahabatan yang sudah lama terjalin,” jelasnya.
Bagaimanapun, hantaran tersebut tidak lagi kelihatan dalam Instagram Azhar dipercayai sama ada sudah dipadam ataupun diarkib.
Sebelum ini, Azhar mengundang kecaman apabila mempersoalkan strategi panglima perang Hamas memulakan serangan ke atas Israel menjadi polemik sejak beberapa hari lalu.
Pendapatnya itu membuatkan Sharnaaz tidak berpuas hati sehingga menganggap membuatkan Azhar terasa hati dengan komen balas diterimanya.
Konflik Palestin-Israel yang tercetus sejak 7 Oktober lalu semakin membimbangkan terutama nasib lebih 2.2 juta penduduk Gaza apabila Israel meneruskan fasa kedua perang dengan misi menghapuskan Hamas. – HIBGLAM