PELAKON Ellie Suriaty meluahkan rasa kurang senang terhadap penggunaan istilah ‘retis’ dalam kalangan masyarakat yang disifatkan seolah-olah memperlekehkan martabat penggiat seni tempatan.
Ujar Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar, 55, tiada istilah sedemikian dalam industri seni kreatif, malah panggilan tersebut membawa konotasi sinis dan merendahkan nilai seorang artis.
“Dalam industri seni kreatif, tiada istilah pekerjaan ‘retis’. ‘Retis’ itu apa?
Bagi saya, sebagai penggiat seni, panggilan ‘retis’ merupakan satu ejekan yang menjatuhkan maruah insan seni.
“Kami tidak pernah terfikir mahu menyakiti hati orang lain melalui pekerjaan mereka. Mengapa perlu diperlakukan begitu terhadap kami?” katanya dalam Instagram.
Tambah bintang drama Ibu Aji itu, perjalanan dalam industri bukan mudah dan memerlukan pengorbanan besar, bukan hanya meraih glamor seperti disangka.
“Tidak baik merujuk orang berusaha sebagai ‘retis’. Industri seni kreatif sukar ditembusi. Berusaha merupakan inisiatif besar untuk menceburi bidang ini.
Tiada istilah ‘suam-suam kuku’ dalam kalangan anak seni. Kami bekerja secara bebas, ada masa jadual bertindih, ada masa langsung tiada tawaran berbulan-bulan.
“Hanya individu berjiwa kental mampu bertahan. Jadi panggilan seperti itu tidak sopan. Kami bekerja demi keluarga,” ujarnya.
Ellie turut menegaskan ramai dalam kalangan penggiat seni memikul tanggungjawab besar termasuk membantu ibu bapa serta menyara adik-beradik.
“Ada masih bujang membantu mak ayah, menyokong pelajaran adik-beradik. Jadi beradablah dalam tutur kata.
Menggelar orang lain dengan ejekan terhadap pekerjaan mereka bukan sahaja tidak manis, malah biadab,” tegasnya.
Luahan tersebut pantas mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen dengan pelbagai reaksi dilontarkan.
“Kena hormat setiap profesion, bukan artis saja.
“Saya pun tak selesa dengar perkataan ‘retis’, bunyinya macam sindiran,” antara komen ditinggalkan pengguna media sosial.
Namun, ada juga segelintir berpendapat istilah tersebut sekadar gurauan biasa dan tidak membawa maksud menghina seperti didakwa. – HIBGLAM
