MELERAIKAN salah faham, penyanyi dan pelakon Bella Astillah mengakui belum memberi sebarang kata putus berkenaan pembabitan tunangnya, Syed Saddiq dalam sebuah telefilem.
Bella atau nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 33, berkata, setakat ini hanya dirinya yang sahih bakal beraksi dalam produksi terbitan Usanita di platform UTV itu.
“Saya ingin menjelaskan perkara yang timbul. Ramai peminat bertanya dan menyatakan keprihatinan mengenai isu ini.
“Sebenarnya, belum ada perbincangan lanjut mengenai perkara ini. Pihak berkaitan hanya menjawab pertanyaan daripada rakan media tentang projek bersama BASS (panggilan Bella Astillah, Syed Saddiq).
Tiada sebarang keputusan dibuat yang melibatkan YB Syed Saddiq dalam sebarang telefilem. Setakat ini, hanya saya, insya-Allah,” ujarnya dalam hantaran di media sosial.
Pada masa sama, Bella menegaskan antaranya dengan pihak Usanita memahami posisi Syed Saddiq sebagai politik yang mempunyai tanggungjawab terhadap kerjayanya.
“Dalam situasi ini, kami memahami kedudukan YB sebagai ahli politik serta peranan utamanya dalam melaksanakan tugas hakiki,” ujarnya.
Menurut Bella lagi, belum ada sebarang perbincangan mengenai penglibatan tunangnya untuk menceburi arena lakonan buat masa ini.
“Memang tiada sebarang perbincangan melibatkan YB untuk berlakon. Dalam pada itu, kami amat menghargai sokongan semua pihak dalam situasi ini,” katanya.
Terdahulu, Bella ketika hadir ke majlis rumah terbuka Syawal Usanita mengakui diajukan tawaran untuk berlakon bersama tunangnya juga Ahli Parlimen Muar untuk tayangan di platform UTV.
Syed Saddiq yang menemani Bella di majlis tersebut pula menyatakan hanya menunggu keputusan wanita terbabit berkenaan pelawaan diajukan untuknya.
“Saya fokus di Parlimenlah. Dalam peranan ini saya jadi pasangan paling suportif.
“Kita tengok nanti. Mungkin saya akan diheret macam saya diheret menari. Kalau Bella mahukannya (berlakon), saya akan cuba yang terbaik. – HIBGLAM
