88 selebriti, 88 jam tanpa henti, Let’ Raya 2026 gempak!

BELUM pun sampai pertengahan puasa, bahang Syawal sudah terasa. Lebih mencuri tumpuan, deretan nama besar tanah air lebih awal ‘turun padang’ memeriahkan perancangan festival raya tahun ini.

Tatkala umat Islam baru bersiap menyambut bulan penuh keberkatan, penganjur Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026 sudah menyusun langkah luar biasa dengan penglibatan 88 selebriti dan pempengaruh popular sebagai nadi utama acara.

Festival mega itu bakal berlangsung selama 88 jam tanpa henti di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) bermula 12 hingga 15 Mac 2026.

Mengangkat konsep ‘masuk bila-bila, raikan Raya tanpa henti’, acara tersebut menggabungkan elemen keagamaan, perniagaan, fesyen, kecantikan serta hiburan patuh Ramadan dalam satu pengalaman menyeluruh.

Seiring slogan rasmi, ‘Lebih Banyak, Lebih Masa, Let’s Raya!’, penganjuran kali ini bukan hanya pesta beli-belah, sebaliknya ruang menyatukan ibadah, gaya hidup serta penjenamaan dalam skala besar.

Menurut Pengarah Projek, Raja Azman Raja Ayob, pembabitan artis serta pempengaruh menjadi antara kekuatan utama festival.

“Kita himpunkan 88 selebriti dan pempengaruh termasuk Meerqeen, Amelina, Nubhan, Zoey Rahman serta Kak KM.

“Mereka bukan sekadar hadir memeriahkan pentas, malah terlibat secara langsung dalam penghasilan kandungan digital masa nyata serta kolaborasi bersama jenama,” katanya kepada HibGlam.

PENGARAH Projek, Raja Azman Raja Ayob (berbaju Melayu merah jambu) bersama barisan rakan strategik yang akan terlibat dalam Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026.

Tambah Azman yang mesra disapa Kelly itu, keunikan festival terletak pada pembahagian zon masa bagi menjaga kesantunan Ramadan.

“Dari siang hingga awal malam, pengisian lebih tertumpu kepada aktiviti kerohanian dan keagamaan.

“Manakala dari malam hingga awal pagi, suasana berubah dengan aktiviti fesyen, kecantikan, perniagaan serta hiburan terkawal dan bersesuaian,” ujarnya.

Kelly optimis festival tersebut mampu menarik lebih satu juta pengunjung sepanjang 88 jam penganjuran, melibatkan keluarga, usahawan, pencinta fesyen, pencipta kandungan digital serta pelawat tempatan dan antarabangsa.

“Pengunjung boleh berbuka puasa dan bersahur bersama melalui Rasa Fusion Food Festival dengan pelbagai pilihan hidangan menarik.

“Kita juga tampil dengan segmen ‘Happy Hour Hujan Duit’ menawarkan wang tunai sehingga RM18,888 pada waktu tertentu.

“Kemuncaknya, cabutan bertuah bernilai sehingga RM188,888 menjadikan festival ini antara acara raya paling dinanti,” jelasnya.

Pemilihan tarikh, iaitu 10 hari sebelum Aidilfitri, dilihat cukup strategik memandangkan tempoh tersebut merupakan kemuncak persiapan Syawal.

Pendekatan agresif dari sudut digital turut menjadikan Let’s Raya antara festival raya terbesar berasaskan pengaruh media sosial di Malaysia.

Strategi promosi merangkumi sidang media, liputan televisyen dan radio, papan iklan sekitar KL serta kempen digital sebelum dan sepanjang acara.

Pemilihan WTC KL sebagai lokasi penganjuran menambah nilai prestij dengan infrastruktur 24 jam, sistem keselamatan rapi sekali gus menjamin keselesaan pengunjung yang hadir nanti. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok