Ramadan TV Alhijrah sarat pengisian membina, suburkan iman

TATKALA Ramadan penuh barakah kembali menyapa, layar televisyen juga tidak ketinggalan kembali menjadi medan tarbiah jiwa.

Ramadan bukan hanya musim ibadah, tetapi ruang membentuk akhlak, menyantuni sesama insan dan menyulam kasih dalam keluarga.

Dalam suasana umat Islam bersiap menyambut bulan suci, TV AlHijrah tampil dengan susunan kandungan tersendiri, menyentuh hati dan menyuburkan iman.

Sebagai stesen penyiaran Islam negara, TV AlHijrah terus konsisten mengangkat agenda dakwah, ilmu dan pembangunan ummah. Tahun ini, rangkaian program khas sepanjang Ramadan dan Syawal 1447H/2026M dirangka secara menyeluruh, berimbang dan berteraskan nilai keimanan serta ihsan.

Mengangkat tema ‘Suburkan Iman, Sebarkan Ihsan’, kandungan disusun bukan hanya bagi mengimarahkan ibadah, malah memperkukuh institusi keluarga, menyemai keprihatinan sosial dan menyatukan masyarakat.

Pendekatan tersebut selari aspirasi Malaysia Madani, menekankan nilai kemanusiaan, hormat, ihsan serta kesejahteraan bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, perancangan dibuat lebih awal dengan penelitian terperinci agar setiap pengisian kekal relevan dan segar.

Setiap tahun kami tampil dengan pendekatan berbeza. Sejurus tamat Ramadan tahun lalu, pasukan terus buat analisis. Program berimpak diperkasakan, manakala kandungan kurang memberi kesan ditambah baik atau diganti.

“Ramadan mempunyai corak tontonan tersendiri. Strategi penyiaran tidak boleh sama seperti bulan biasa,” katanya kepada HibGlam.

Ujarnya, struktur kandungan disusun mengikut rentak kehidupan umat Islam bermula dari sahur, waktu bekerja, persiapan berbuka hingga malam pengisian rohani.

Asas kandungan berteraskan al-Quran dan hadis. Kami membayangkan TV AlHijrah ‘bernafas’ seperti insan berpuasa, pagi, tengah hari, petang dan malam, setiap waktu ada pengisian sesuai dengan emosi serta keperluan rohani.

 

 

“Antara program teras termasuk Islah Ramadan, membawa refleksi harian bagi menyuburkan kefahaman ibadah, serta Tadarus On The Go mengajak masyarakat mengimarahkan malam dengan bacaan al-Quran secara konsisten dan mudah diakses.

“Budaya al-Quran turut diperkasa menerusi Quran Challenge, mencetus minat terhadap tajwid, hafazan dan taranum demi melahirkan masyarakat Qurani,” jelasnya.

Menariknya, sepuluh malam terakhir diperkukuh melalui Malam Seribu Bulan, menekankan munajat dan muhasabah, manakala Jalan Taubat membimbing penonton memahami hakikat taubat sebenar dengan amalan mendekatkan diri kepada Allah.

Tradisi Khatam Ramadan diteruskan sebagai simbol kesatuan ummah menerusi bacaan al-Quran secara langsung selama 12 jam bersama qari, qariah serta personaliti tempatan.

Dimensi dakwah dan keprihatinan sosial turut menjadi tunjang menerusi Assalamualaikum Sahur dan Assalamualaikum Asar, menyantuni umat Islam pada waktu utama dengan pengisian ibadah serta kesedaran kebajikan.

Nilai ihsan dizahirkan melalui Hijrah Prihatin Bubur Lambuk serta program berjenama Ehsan, mengangkat semangat membantu agar tiada golongan tercicir sepanjang bulan mulia.

Elemen penceritaan pula diperkaya dengan Ini Kisahku, Peristiwa Penghuni Neraka dan drama bersiri Luka Dalam Rindu, mengangkat tema keinsafan, kesabaran serta tanggungjawab keluarga.

Pengisian santai membina turut disajikan menerusi Dapur Nenek, menghidupkan nostalgia masakan warisan sebagai jambatan merapatkan hubungan menjelang berbuka.

Keunikan Ramadan 2026 turut terserlah melalui kolaborasi Rare TV bersama TV AlHijrah menerusi Rare AlHijrah: Kembara Wahyu, menelusuri perjalanan agung Nabi Musa AS.

Seiring perubahan landskap media, Namanzee berkata, TV AlHijrah memperkenalkan inisiatif digital berskala besar menerusi platform Langit Dakwah, memfokuskan kandungan eksklusif untuk Facebook, Instagram, TikTok, YouTube dan AlHijrah Plus.

“Kami sedar golongan muda kini cenderung mencari maklumat dakwah di platform digital berbanding televisyen. Justeru Langit Dakwah dibangunkan khusus untuk media sosial, bukan sekadar potongan program TV.

Formatnya ringkas, padat dan mesra digital seperti segmen satu hingga tiga minit menerusi konsep Ramadan Quick Drop. Kami mahu dakwah terus hidup dan berkembang dalam ekosistem media sosial,” tuturnya.

Tambahnya, dari sudut capaian, TV AlHijrah menyasarkan peningkatan sekurang-kurangnya 10 peratus prestasi tontonan merentasi platform TV dan digital selepas mencatat kedudukan Top 3 tontonan mingguan pada Ramadan 2025.

Malah, aplikasi AlHijrah Plus kini mencecah sekitar 270,000 muat turun dengan pelaburan tambahan khusus untuk kandungan digital tahun ini.

“Kini ukuran kejayaan bukan lagi televisyen semata-mata. Penilaian dibuat secara menyeluruh merangkumi TV, aplikasi dan semua platform digital.

Sebagai penyiar, kami berpegang kepada etika serta mesej membina. Fokus kepada nilai ihsan bukan sensasi,” tegasnya.

Syawal eratkan kasih

Memasuki Syawal 1447H, kesinambungan tema diteruskan menerusi pendekatan ‘Eratkan Kasih, Bertaut Sayang’ manakala program khas Salam Lebaran Raya membawakan ucapan Aidilfitri dari perantauan, diserikan takbir serta lagu raya sebagai simbol kesatuan hati.

Pengisian Syawal diperkaya dengan telefilem Menantu Datuk Nikah Kahwin dan Surat Dari Syurga, menyentuh kisah kekeluargaan serta keinsafan.

Jom Dengar Cerita Raya pula mendidik adab berhari raya dalam kalangan kanak-kanak, manakala Ini Kisahku Raya mengangkat makna keluarga melalui kisah sambutan Syawal dalam keterbatasan, namun penuh harapan. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok