‘Jus tembikai baik untuk Lunara, doktor beri kebenaran’ 

PELAKON Datin Intan Najuwa mengakui keputusan memberi anak perempuannya, Imane Lunara, minum air tembikai pada usia setahun sebulan dibuat dengan penuh pertimbangan serta pemantauan rapi, bukan secara semberono.

Ujar Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 29, perkongsian dibuat dalam media sosial sekadar bertujuan menjelaskan kekeliruan dalam kalangan pengikut, khususnya berkaitan jus dan ‘smoothie’ diperkenalkan kepada Lunara.

“Untuk menjawab soalan ini, termasuk pengikut yang tertanya-tanya tentang smoothie dan jus Lunara, saya nak jelaskan sedikit.

Setakat ini, Lunara tidak pernah mengalami sebarang reaksi buruk atau kesan sampingan terhadap apa-apa diperkenalkan kepadanya.

“Kami ada jururawat pediatrik peribadi tinggal bersama dan menjaga Lunara sepenuh masa. Jadi semua, termasuk jadual makanan serta jus, dirancang teliti, selamat dan bebas bahan pencetus alahan,” katanya dalam Instagram Story.

Tambah pelakon drama Tuan Danial itu, jus tembikai diberikan selepas mendapat kelulusan pihak perubatan dan kesannya setakat ini amat positif buat puteri kesayangannya.

Jus tembikai ini berkesan dengan baik untuk Lunara, namun mungkin tidak sesuai untuk setiap kanak-kanak.

“Malah, doktor sendiri sudah memberi kebenaran untuk kami masukkan jus ini dalam pemakanan Lunara,” ujarnya.

Sebelum ini, timbul perbincangan dalam kalangan netizen apabila seorang pengguna media sosial bertanya sama ada jus tembikai sesuai untuk kanak-kanak bawah dua tahun selepas anaknya mengalami cirit-birit serta muntah sejurus meminumnya.

Isu tersebut mencetuskan perdebatan, sekali gus mendorong Intan tampil memberi penjelasan agar tidak timbul salah faham terutama membabitkan kesihatan kanak-kanak.

Untuk rekod, Intan sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan Datuk Ahmad Azraf Azman pada 18 Ogos 2023.

Pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Imane Lunara, pada 15 Disember 2024. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok