PERNAH melalui episod perpisahan yang pahit 17 tahun lalu, namun selebriti, Abby Abadi dan bekas suaminya, Norman Hakim menjadi contoh kepada pasangan bercerai lain apabila kembali menjalin hubungan baik selepas membina keluarga baru.
Mereka boleh duduk semeja, malah santai bercuti dalam sebuah famili besar termasuk bersama tiga cahaya mata hasil perkahwinan mereka selain dengan isteri, suami dan anak masing-masing.
Jika wujud pertelagahan pun ibarat gaduh manja-manja terutama ketika pernikahan puteri kedua, Marissa Dania Hakim dengan Ahmad Aslan dua tahun lalu disusuli beberapa isu kecil lain membabitkan pasangan terbabit.
Namun awal minggu ini Norman atau nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon dilihat naik darah apabila hal mas kahwin tertunggak yang diberikan kepada bekas isterinya berjumlah RM11,111.11 ‘dipetik’ media.
Walaupun perkara tersebut didedahkan Abby sendiri dalam laman sosialnya, suami kepada pelakon Memey Suhaiza itu tidak selesa hal peribadi menjadi tumpuan, sekali gus memberi amaran agar mana-mana pihak jangan campur tangan.
Bukan mas kahwin
Bahkan tegasnya, penggunaan istilah ‘mas kahwin tertunggak’ pada transaksi tersebut hanya bagi tujuan rekod dan dokumentasi kewangan, bukan merujuk kepada nilai sebenar mas kahwin seperti yang disalah tafsir ramai.
“Tak ada mas kahwin di Malaysia sampai lima angka. Paling tinggi pun tiga angka. Khilaf aku, letak tajuk itu untuk tujuan rekod dan filing supaya ‘tax consultant’ senang buat kerja.
Mengenai nafkah tertunggak, ini aku bagi amaran pertama dan terakhir. Jangan cuba masuk campur. Itu urusan antara aku dan bekas isteri aku,” katanya lagi.
Bapa kepada dua anak itu turut memaklumkan wang diserahkan kepada Abby adalah hasil titik peluhnya termasuk dividen perniagaan yang diusahakan tanpa bergantung kepada sesiapa.
Pada masa sama, mengenai tindakan bekas isteri yang gemar berkongsi hal dalaman di media sosial, Norman memilih tidak memanjangkan isu tersebut.
Abby pujuk
Sementara itu, Abby atau nama lengkapnya Arbaiyah Abdul Manan, 49, lebih selesa mengambil jalan tenang dengan sekali lagi menzahirkan apa yang dirasai berhubung hal ‘mas kahwin’ yang menjadi kemarahan Norman.
Anggota kumpulan Elite itu menjelaskan perkongsiannya hanya sebagai pengajaran kepada golongan lelaki agar tidak culas menunaikan tanggungjawab.
Akuinya, dia memuat naik hantaran tersebut dengan niat baik supaya perkara tertangguh dapat diselesaikan selagi masih diberi kesempatan hidup.
“Saya kongsi mengenai mas kahwin dengan niat supaya perkara ini menjadi contoh kepada bekas suami di luar sana.
Apa yang tertangguh, cubalah selesaikan selagi masih ada nyawa. Tiada niat pun nak mengaibkan sesiapa,” katanya.
Menurut Abby, perkongsian tersebut sebenarnya membuka ruang pujian buat Norman daripada netizen yang menganggapnya sebagai lelaki bertanggungjawab.
“Ramai yang puji Oman (panggilan Norman). Beritahu dia ini bagus, baik, bertanggungjawab, kacak dan pemurah,” ungkapnya.
Begitupun, Abby mendedahkan bekas suaminya itu berkecil hati sehingga memilih untuk tidak menyertai percutian keluarga ke Jepun.
“Tetapi Oman merajuk! Sampai tidak mahu pergi ke Jepun,” katanya.
Sebelum ini, Abby mendedahkan dia menerima bayaran mas kahwin tertangguh daripada Norman selepas menunggu selama 22 tahun.
Abby juga bersyukur apabila suaminya, Faizal Zakaria dan isteri kepada bekas suaminya, Memey Suhaiza, tidak pernah mencampuri urusan berkenaan.
Harapnya hal ini dapat diselesaikan dengan baik antara mereka. Jangan nanti kerana wang hubungan mesra yang terjalin antara kedua-dua keluarga terlerai.
Bagai dikatakan Abby, perkongsian dibuat bukan bertujuan mengaibkan, malah hakikatnya netizen mahupun rakan media mendoakan kesejahteraan hubungan kekeluargaan mereka terus erat.
